Belian saat akhir lonjak Bursa Malaysia tertinggi dua bulan

BeritaHarian Wed, Dec 28, 2022 07:58pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan hari ini apabila belian saat-saat akhir terutamanya dalam kaunter wajaran tinggi telekomunikasi dan kewangan membantu indeks petunjuk pasaran pulih daripada penurunan sebelumnya.

Belian berpilih juga dilihat dalam beberapa sektor lain dengan indeks perladangan dan produk dan perkhidmatan perindustrian kembali mencatatkan keuntungan.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras intra hari tertingginya pada 1,480.11, naik 5.42 mata daripada paras penutup 1,474.69 pada Selasa.

Petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 1.14 mata kepada 1,473.55 dan mencecah paras intra hari terendah pada 1,461.18 hari ini.

Bagaimanapun, suasana pasaran kekal lemah apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 564 berbanding 367, manakala 387 kaunter tidak berubah, 951 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.65 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata melihat kepada corak pergerakannya, FBM KLCI dijangka mencecah paras 1,500 pada minggu ini.

"Nampaknya para pelabur berada dalam mood (suasana) membeli belah dan jualan akhir tahun.

"Namun prestasi keseluruhan pasaran hari ini mencerminkan kelemahan serantau dan dengan beberapa aktiviti pengambilan untung," katanya kepada Bernama.

Menerajui kaunter untung, saham wajaran tinggi Maybank meningkat tujuh sen kepada RM8.71, diikuti Axiata dan TM, yang masing-masing naik 9.0 sen kepada RM3.10 dan 19 sen kepada RM5.40.

Digi menokok enam sen kepada RM3.98 dan Petronas Gas menambah 32 sen kepada RM17.12.

Manakala kaunter wajaran tinggi yang mencatatkan penurunan adalah IHH dan RHB Bank, yang susut lima sen setiap satu masing-masing kepada RM6.13 dan RM5.60 dan MISC yang jatuh enam sen kepada RM7.29.

Dalam kalangan kaunter cergas, Top Glove turun 3.0 sen kepada 89.5 sen, Cypark Resources susut 1.5 sen kepada 42.5 sen, manakala Global Oriental dan Berjaya Corp jatuh setengah sen masing-masing kepada 26 sen dan 29 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.02 mata kepada 10,618.90, Indeks FBMT 100 menokok 14.05 mata kepada 10,335.68, Indeks FBM Emas Shariah menambah 5.96 mata kepada 10,850.38, manakala Indeks FBM 70 jatuh 85.65 mata kepada 13,010.23 dan Indeks FBM ACE susut 65.95 mata kepada 5,287.70.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 14.67 mata kepada 16.369.04, Indeks Perladangan menokok 11.79 mata kepada 7,000.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.63 mata kepada 180.90 tetapi Indeks Tenaga berkurangan 4.34 mata kepada 783.61.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.60 bilion saham bernilai RM1.50 bilion berbanding 2.01 bilion saham bernilai RM1.47 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 397.96 juta unit bernilai RM75.80 juta daripada 132.22 juta unit bernilai RM14.27 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 650.66 juta saham bernilai RM245 juta berbanding 911.63 juta saham bernilai RM363.78 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.22 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (476.62 juta); pembinaan (38.51 juta); teknologi (181.88 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.29 juta); hartanah (137.15 juta); perladangan (43.12 juta); REITs (4.0 juta), dana tertutup (100); tenaga (104.20 juta); penjagaan kesihatan (194.74 juta); telekomunikasi dan media (23.28 juta); pengangkutan dan logistik (53.76 juta); dan utiliti (16.87 juta).

–BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BJCORP 0.300
BURSA 7.460
CYPARK 0.910
FBMKLCI 1530.600
GOB 0.185
MISC 7.650
PETGAS 17.540
RHBBANK 5.640

Comments

Login to comment.