Lebar sayap ke Arab Saudi

HarianMetro Mon, Jan 16, 2023 06:15am - 1 year View Original


MGB Berhad (MGB) penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan SANY Alameriah For Construction Co Ltd (SA).

SA merupakan syarikat usahasama (diperbadankan) di Kerajaan Arab Saudi antara SANY, pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia dan Alameriah, pemaju terkemuka di Arab Saudi khususnya dalam aktiviti pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur, reka bentuk dan binaan serta pembuatan produk konkrit pratuang.

Menerusi perjanjian itu, SA menyasarkan melantik MGB bagi melaksanakan kerja reka bentuk dan membina 10,000 unit hartanah dengan anggaran nilai projek SAR 2.5 bilion (RM2.9 bilion) di bawah Program Kerajaan Sakani (Pembinaan Unit) di Arab Saudi yang dianggarkan siap dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, SA turut berhasrat bekerjasama dengan MGB bagi mengendalikan kilang konkrit pratuang di Jeddah dan dijangka membekalkan 1,000,000m3 produk konkrit pratuang bagi Pembinaan Unit selama lima tahun.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Ibu Pejabat LBS di Plaza Seri Setia, Selangor.

Pada sesi itu, Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San menandatangani bagi pihak MGB manakala SA diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah SA, Mohammad Al Amre disaksikan Pengarah Urusan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan; Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim serta Ahli Lembaga SA, Tarek Amri.

Perjanjian berkenaan berkuat kuasa pada 13 Januari 2023 selama 12 bulan melainkan ia ditamatkan oleh mana-mana pihak yang menandatangani Perjanjian Definitif.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB Tan Sri Lim Hock San berkata, industri pembinaan beralih secara beransur kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai kaedah baharu yang dilihat berpotensi meningkatkan prestasi pembinaan, kualiti serta produktiviti secara menyeluruh sekali gus meningkatkan kecekapan dalam sektor pembinaan.

"Kami sangat optimis ke arah kemajuan lebih pesat, didorong oleh penggunaan Sistem IBS. Kerjasama yang terjalin ini menjadi titik tolak untuk kami menerokai pasaran di Timur Tengah.

"MGB turut bersedia menyumbang kepakaran di dalam industri pembinaan di Timur Tengah dan kami berbesar hati kerana sistem IBS kami digunakan untuk pembinaan tersebut," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sistem IBS pada masa hadapan lebih mesra alam, selaras agenda pembinaan hijau seperti digariskan dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan (2021-2025) sebagai agenda nasional untuk memacu sektor pembinaan hijau dan penjimatan kos.

"Kami mengenal pasti sistem IBS sebagai penyelesai berpotensi untuk meningkatkan prestasi pembinaan dan kami berharap dapat meluaskan pengetahuan dan kepakaran kami dalam bidang ini.

"MGB terus konsisten menerima kontrak lain di samping meningkatkan tempahan pembinaan lebih kukuh dan menerokai pasaran berbeza," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LBS 0.670
MGB 0.810

Comments

Login to comment.