Bursa Malaysia gagal jejaki prestasi saham serantau

BeritaHarian Wed, Jan 18, 2023 07:22pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan jualan berterusan dalam kaunter produk dan perkhidmatan terpilih, telekomunikasi dan media meskipun pasaran serantau kebanyakannya ditutup tinggi, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.88 mata atau 0.26 peratus kepada 1,495.50 daripada paras penutup 1,499.38 pada Selasa.

Petunjuk pasaran dibuka rendah susut 4.07 mata kepada 1,495.31 dan bergerak antara paras 1,491.05 dan 1,496.63 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 423 berbanding 387, manakala 432 kaunter tidak berubah, 947 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.70 bilion unit bernilai RM2.0 bilion daripada 2.82 bilion unit bernilai RM1.98 bilion.

DiGi.Com dan Petronas Chemicals adalah dua kaunter rugi utama turun 10 sen dan 16 sen masing-masing kepada RM4.18 dan RM8.46, menyumbang gabungan 4.09 mata kepada penurunan indeks.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata bursa serantau ditutup kebanyakannya tinggi meskipun petunjuk bercampur-campur daripada Wall Street.

"Saham Jepun meningkat apabila Bank of Japan (BoJ) mengekalkan dasar kadar faedahnya. China dan Hong Kong kekal optimis dengan pembukaan semula sempadan China.

"Di bursa tempatan, FBM KLCI kekal pada tahap penstabilan meskipun terdapat beberapa percubaan melepasi paras 1,500.

"Bagaimanapun, kami berpandangan indeks itu akan mencatatkan sedikit peningkatan berikutan penilaian rendah ketika ini dan berlegar sekitar jajaran 1,490 ke 1,500 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.47 peratus kepada 21,678.0, Indeks Komposit SSE China naik sedikit kepada 3,224.41 dan Kospi Korea Selatan jatuh 0.47 peratus kepada 2,368.32.

Bagaimanapun, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.09 peratus kepada 3,283.40 manakala Nikkei 225 Jepun naik 2.50 peratus kepada 26,791.12.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di bursa tempatan, Maybank meningkat 3.0 sen kepada RM8.81, Public Bank, TNB, dan IHH Healthcare susut 3.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM4.29, RM9.39 dan RM5.69 manakala CIMB jatuh 5.0 sen kepada RM5.72.

Dalam kalangan kaunter cergas, TT Vision yang memulakan dagangan sulungnya hari ini melonjak 94 sen kepada RM1.28, DNex menokok 1.5 sen kepada 60 sen, Velesto tidak berubah pada 18.5 sen dan Iris Corp jatuh 1.5 sen kepada 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 21.62 mata kepada 10,803.45, Indeks FBMT 100 turun 23.15 mata kepada 10,498.25 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 15.62 mata kepada 11,049.65.

Indeks FBM 70 turun 11.95 mata kepada 13,454.30 manakala Indeks FBM ACE jatuh 36.34 mata kepada 5,446.90.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 3.07 mata kepada 823.64, Indeks Teknologi naik 0.59 mata kepada 67.23 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.78 mata kepada 187.86.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 29.49 mata kepada 16,516.83 dan Indeks Perladangan turun 32.62 mata kepada 6,869.22.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.64 bilion saham bernilai RM1.48 bilion berbanding 1.87 bilion saham bernilai RM1.54 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 320.84 juta unit bernilai RM55.19 juta daripada 246.50 juta unit bernilai RM49.65 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 741.23 juta saham bernilai RM472.44 juta daripada 699.95 juta saham bernilai RM382.15 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 186.07 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (503.37 juta); pembinaan (47.16 juta); teknologi (278.70 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.84 juta); hartanah (78.47 juta); perladangan (24.36 juta); REITs (3.93 juta), dana tertutup (sifar); tenaga (315.52 juta); penjagaan kesihatan (71.49 juta); telekomunikasi dan media (27.57 juta); pengangkutan dan logistik (29.29 juta); dan utiliti (14.45 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
CDB 4.210
FBMKLCI 1530.600
IHH 6.030
IRIS 0.310
PBBANK 4.210

Comments

Login to comment.