Bursa Malaysia cemerlang ditutup atas 1,500 mata

BeritaHarian Fri, Jan 20, 2023 09:30pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Belian lewat di kaunter telekomunikasi dan media serta perkhidmatan kewangan mendorong Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada Jumaat, melepasi paras psikologi 1,500 yang kali terakhir dilihat pada November tahun lalu, kata peniaga.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kali terakhir mencecah paras 1,500 semasa ditutup dalam dagangan pada 24 November 2022 pada 1,501.88.

Pada 5 petang hari ini, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 4.11 mata atau 0.27 peratus kepada 1,500.33 daripada 1,496.22 semalam.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 0.66 mata kepada 1,496.88 dan mencecah paras terendah pada 1,495.80 pada rehat tengah hari.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 501 berbanding 304 manakala 428 kaunter tidak berubah, 959 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.34 bilion unit bernilai RM1.71 bilion daripada 2.50 bilion unit bernilai RM1.90 bilion pada Khamis.

Maxis dan CIMB adalah dua kaunter paling untung dalam kalangan konstituen FBM KLCI, masing-masing naik 12 sen dan 8.0 sen kepada RM4.10 dan RM5.77, menyumbang gabungan 2.99 mata kepada kenaikan dalam indeks.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup tinggi sejajar dengan prestasi serantau yang kukuh.

"Di peringkat serantau, indeks utama menunjukkan daya tahan walaupun jualan di Wall Street semalaman.

"Saham China dan Hong Kong meningkat berikutan People's Bank of China mengekalkan dasar monetarinya yang tidak berubah.

"Kami melihat pembukaan semula ekonomi dan sempadan China memberi impak ekonomi yang positif kepada ekonomi serantau dan menarik pelaburan dolar AS ke rantau ini berikutan pelabur global bimbang mengenai nilai ekuiti dan dolar AS," katanya kepada Bernama.

Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.82 peratus kepada 22,044.65, Indeks Komposit SSE China meningkat 0.76 peratus kepada 3,264.81, Kospi Korea Selatan menambah 0.63 peratus kepada 2,395.26, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.54 peratus kepada 3,293.71 dan Nikkei 225 Jepun naik 0.56 peratus kepada 26,553.53.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals, masing-masing tidak berubah pada RM8.80, RM4.29 dan RM8.50 manakala TNB merosot 5.0 sen kepada RM9.45 dan IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM5.97.

Bagi saham aktif, Velesto Energy dan Reach Energy, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 20 sen dan 5.5 sen, TA Win tidak berubah pada 6.0 sen, Scope Industries menambah 1.0 sen kepada 22 sen manakala Coraza melonjak 10.5 sen kepada 91.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 26.78 mata kepada 10,842.48, Indeks FBMT 100 meningkat 29.51 mata kepada 10,533.78 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 26.70 mata kepada 11,093.62.

Indeks FBM 70 naik 40.67 mata kepada 13,506.65 manakala Indeks FBM ACE melonjak 107.08 mata kepada 5,556.08.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 5.84 mata kepada 845.81, Indeks Teknologi naik 0.38 mata kepada 67.40 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.52 mata kepada 188.36.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 53.12 mata kepada 16,535.13 dan Indeks Perladangan menambah 55.84 mata kepada 6,881.42.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.34 bilion saham bernilai RM1.29 bilion daripada 1.50 bilion saham bernilai RM1.50 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 324.02 juta unit bernilai RM66.01 juta daripada 309.43 juta unit bernilai RM59.60 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 666.29 juta saham bernilai RM356.44 juta daripada 683.96 juta saham bernilai RM336.61 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 165.40 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (421.52 juta); pembinaan (52.16 juta); teknologi (129.28 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.76 juta); hartanah (50.93 juta); perladangan (39.47 juta); REIT (11.95 juta), dana tertutup (30,000); tenaga (317.17 juta); penjagaan kesihatan (47.75 juta); telekomunikasi dan media (24.01 juta); pengangkutan dan logistik (15.48 juta) dan utiliti (11.38 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.440
FBMKLCI 1544.320
IHH 6.090
MAXIS 3.520
PBBANK 4.150
REACH 0.025
SCOPE 0.120
VELESTO 0.275

Comments

Login to comment.