Bursa di buka rendah, pelabur lebih berhati-hati

BeritaHarian Thu, Jan 26, 2023 11:37am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dengan diniagakan dalam sentimen berhati-hati berikutan prestasi semalaman di Wall Street yang tidak memberangsangkan.

Peniaga berkata, di Amerika Syarikat (AS), saham-saham ditutup tidak berubah semalaman disebabkan pelabur menilai kelompok terkini keputusan korporat serta menjelang pengeluaran data ekonomi yang kritikal.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 2.66 mata kepada 1,496.79 berbanding 1,499.45 sewaktu ditutup pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 2.04 mata kepada 1,497.41.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 170 berbanding 127, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,689 tidak diniagakan dan 37 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 160.20 juta unit bernilai RM69.25 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI tidak berjaya membina momentum positif daripada langkah sebelum Tahun Baharu Cina berikutan indeks utama merosot disebabkan aktiviti pengambilan untung yang pantas.

"Bagaimanapun, kami bergantung kepada tema pemulihan dari China yang akan merangsang FBM KLCI untuk melepasi paras 1,500 manakala saham berharga rendah mungkin terus memanfaatkan persekitaran dagangan yang lebih memberangsangkan.

"Di peringkat global, tumpuan akan beralih kepada bacaan awal data keluaran dalam negara kasar suku keempat 2022 AS pada malam ini," katanya.

Dari segi komoditi, menurutnya minyak mentah Brent meningkat sedikit untuk kekal melepasi AS$86 setong, namun harga minyak sawit mentah merosot di bawah RM3,800 satu tan berikutan aktiviti pengambilan untung.

Sehubungan itu, Malacca Securities berkata sektor tenaga dijangka kekal fokus di sebalik harga minyak kukuh dan dalam situasi pemulihan di China, manakala pelabur menunggu mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeskport Petroleum (OPEC) pada 1 Feb 2023 untuk hala tuju pasaran.

"Sementara itu, jumlah keseluruhan industri automotif yang mencatat paras tertinggi pada 2022 mungkin meningkatkan saham-saham automotif berkaitan. Sektor perkhidmatan kewangan pula mungkin mengalami pengukuhan berikutan langkah Bank Negara Malaysia menghentikan seketika peningkatan kadar dasar semalaman," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemical susut tiga sen kepada RM8.47, CIMB menguncup satu sen kepada RM5.77, dan Tenaga Nasional merosot lima sen kepada RM9.47, manakala Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.81 dan RM4.29.

Bagi saham aktif, Niche Capital menambah dua sen kepada 16.5 sen, Cypark meraih 3.5 sen kepada 87.5 sen, Dataprep meningkat satu sen kepada 27.5 sen, JHM Consolidation menokok 5.5 sen kepada 94.5 sen dan Leform meningkat 1.5 sen kepada 23 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.55 mata kepada 10,857.25, Indeks FBMT 100 susut 14.73 mata kepada 10,534.31 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 16.51 mata kepada 11,095.45.

Indeks FBM 70 turun 1.75 mata kepada 13,617.12 manakala Indeks FBM ACE meningkat 8.45 mata kepada 5,635.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 6.61 mata kepada 16,535.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.18 mata kepada189.67, Indeks Tenaga susut 3.37 mata kepada 867.06 dan Indeks Perladangan meningkat 10.28 mata kepada 6,829.24. – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
FBMKLCI 1530.600
JHM 0.570
LEFORM 0.160
PBBANK 4.210
TENAGA 11.240

Comments

Login to comment.