MAHB rekod 52.7 juta penumpang sepanjang 2022

BeritaHarian Fri, Jan 27, 2023 03:18pm - 1 year View Original


SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan sejumlah 52.7 juta penumpang untuk rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikannya bagi tempoh Januari hingga Disember 2022.

Momentum pemulihan pergerakan penumpang domestik berterusan pada 2022 selepas pemansuhan sekatan perjalanan antara negeri pada 11 Oktober 2021, merekodkan 36.2 juta penumpang untuk tahun itu, mencecah 69.6 peratus daripada tahap 2019.

MAHB mencatatkan pergerakan penumpang rekod tertinggi pada Disember 2022 bagi operasinya di Malaysia dengan sebanyak 6.8 juta penumpang.

Musim cuti akhir tahun menyumbang kepada peningkatan ketara 31 peratus berbanding bulan sebelumnya dan membolehkan kumpulan pengendali lapangan terbang itu mencapai 50 peratus daripada paras operasi 2019 untuk Malaysia.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, daripada 6.8 juta penumpang pada Disember, 2.9 juta adalah penumpang antarabangsa, yang tertinggi direkodkan sehingga kini sejak sempadan dibuka semula pada April dan 3.9 jutalagi adalah penumpang domestik, meningkat 33 peratus berbanding November 2022.

"Antara lima lapangan terbang antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merekodkan peningkatan penumpang tertinggi masing-masing sebanyak 51 peratus dan 39 peratus.

"Pertumbuhan trafik penumpang Malaysia adalah seiring dengan peningkatan 10 peratus yang dicatatkan untuk jumlah pergerakan pesawat pada Disember iaitu sebanyak 56,645 berbanding November," katanya dalam satu kenyataan.

Pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan sejumlah 16.5 juta penumpang hasil daripada 17 syarikat penerbangan menyambung semula perkhidmatan ke 32 bandar raya dengan trafik tertinggi ke destinasi di Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Vietnam dan India.

Pertumbuhan tahunan dalam pergerakan penumpang juga disokong oleh pengenalan laluan baharu oleh 27 syarikat penerbangan ke 38 bandar.

Antara bandar dengan pertumbuhan tertinggi pada 2022 mengatasi 2021 ialah Denpasar-Bali, Lahore, Ujung Padang, Male, Brisbane, Bangkok, Perth, Phuket, Batam dan Bangalore.

Secara keseluruhan, 59 syarikat penerbangan mengendalikan 84 penerbangan antarabangsa dan 35 destinasi domestik pada tahun lalu berbanding 48 syarikat penerbangan dengan 51 penerbangan antarabangsa dan 32 destinasi domestik pada tahun sebelumnya.

Aset Malaysia Airports di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul pula mencatatkan 2.7 juta penumpang pada Disember, menyumbang kepada sejumlah 31.2 juta penumpang untuk 2022, mencapai 86.7 peratus daripada paras tahunan 2019.

Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa pada 2022 melepasi paras tahunan 2019 dengan pertumbuhan 10.4 peratus berbanding 2019, manakala pergerakan penumpang domestik mencatatkan 15.5 juta penumpang, mencapai 71.2 peratus daripada paras tahunan 2019.

Pergerakan pesawat antarabangsa SGIA Istanbul mencatatkan pertumbuhan 48.1 peratus berbanding 2021 manakala pergerakan pesawat domestik mencatatkan sedikit penurunan apabila syarikat penerbangan menyusun semula pengembangan rangkaian mereka ke sektor antarabangsa.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIRPORT 9.970

Comments

Login to comment.