Sentimen positif, Bursa Malaysia kembali atasi 1,500 mata

BeritaHarian Mon, Jan 30, 2023 10:26am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini mendapat rangsangan daripada sentimen positif di Wall Street pada Jumaat minggu lalu dan jangkaan pemulihan ekonomi China.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.31 mata kepada 1,500.86 daripada paras penutup 1,497.55 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi meningkat 2.20 mata kepada 1,499.75.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 199 berbanding 116, manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,623 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 217.47 juta unit bernilai RM74.70 juta.

FBM KLCI ditutup sedikit di bawah paras 1,500 pada minggu lalu disebabkan oleh penurunan di sektor perbankan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

"Bagaimanapun, dengan sentimen positif daripada Wall Street, kami percaya minat belian akan melimpah ke keseluruhan pasaran, yang akan memberi sokongan kepada kaunter berharga rendah terutamanya dalam sektor teknologi," kata Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pasaran saham global dijangka terus pulih disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang baik dan ditambah dengan pemulihan berterusan ekonomi China.

Firma pembrokeran itu berkata saham minyak dan gas yang menjadi tumpuan hari ini dijangka meningkat sehingga musim pelaporan akan datang di tengah-tengah kekukuhan harga minyak Brent.

"Selain itu, lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura hari ini mencetuskan spekulasi akan ada perbincangan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (antara kedua-dua negara)," katanya

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank menambah tiga sen setiap satu untuk dibuka masing-masing kepada RM8.77 dan RM4.28, Petronas Chemicals dan CIMB kedua-duanya meningkat satu sen masing-masing kepada RM8.49 dan RM5.75, manakala Tenaga Nasional jatuh tiga sen kepada RM9.52.

Dalam kalangan kaunter cergas, Nylex menambah 5.5 sen kepada 60 sen, Borneo Oil naik setengah sen kepada dua sen, ATA IMS menokok 3.5 sen kepada 44 sen dan DGB Asia diniagakan tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 23.56 mata kepada 10,916.92, Indeks FBMT 100 meningkat 23.75 mata kepada 10,587.66 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 19.86 mata kepada 11,197.41.

Indeks FBM 70 meningkat 32.71 mata kepada 13,792.55 manakala Indeks FBM ACE naik 23.45 mata kepada 5,754.68.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sebanyak 0.48 mata kepada 191.25, Indeks Tenaga menokok 4.83 mata kepada 885.59 dan Indeks Perladangan menambah 27.05 mata kepada 6,868.28. Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 49.03 mata kepada 16,519.22.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ATAIMS 0.255
BORNOIL 0.005
BURSA 7.470
DGB 0.095
FBMKLCI 1547.570
NYLEX 0.240
PBBANK 4.150
TENAGA 11.600

Comments

Login to comment.