Bursa Malaysia uji semula paras 1,500 mata

BeritaHarian Thu, Feb 02, 2023 10:31am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula daripada jualan pada Selasa untuk dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.93 mata kepada 1,491.43 daripada 1,485.50 pada Selasa.

Indeks utama dibuka tinggi 3.32 mata kepada 1,488.82.

Suasana pasaran turut positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 282 berbanding 129 manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,478 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 265.63 juta unit bernilai RM157.99 juta.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks petunjuk pasaran merosot di bawah 1,490 pada Selasa berikutan ketidaktentuan pasaran yang dibawa oleh mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

"Bagaimanapun, kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan kembali, sekali gus menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,490 hingga 1,500 hari ini dan sektor teknologi akan menyaksikan pemulihan yang kukuh.

"Sementara itu, harga minyak mentah rendah berikutan data inventori yang tinggi susulan minyak mentah Brent merosot kepada AS$83 setong," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat global, Pak Leng berkata Wall Street meningkat semula berikutan kenaikan 25 mata asas Fed, apabila Dow Jones Index Average menambah tujuh mata dan Nasdaq meningkat 232 mata dengan hasil untuk tempoh 10 tahun AS merosot di bawah 3.42 peratus.

"Di peringkat serantau, ekuiti Hong Kong turut meningkat semula, didorong oleh saham teknologi berikutan peniaga mempertaruhkan ke atas kenaikan kadar yang kurang agresif oleh Fed, mendorong Indeks Hang Seng naik 230 mata untuk ditutup melebihi paras 22,000," katanya.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Press Metal naik lapan sen kepada RM5.26, Maybank meningkat lima sen kepada RM8.79, Sime Darby Plantation menambah tujuh sen kepada RM4.40, Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM8.41 dan IHH naik empat sen kepada RM5.96.

Bagi saham aktif, CTOS Digital merosot empat sen kepada RM1.50, Hong Seng dan Pasukhas, masing-masing menambah setengah sen kepada 20.5 sen dan 2.5 sen dan Vestland naik satu sen kepada 40 sen manakala Minda Global tidak berubah pada tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 46.03 mata kepada 10,862.30, Indeks FBMT 100 menambah 42.09 mata kepada 10,527.55 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 65.18 mata kepada 11,141.38.

Indeks FBM 70 meningkat 55.91 mata kepada 13,741.91 dan Indeks FBM ACE menambah 47.20 mata kepada 5,758.66.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.08 mata kepada 191.01, Indeks Perladangan meningkat 51.82 mata kepada 6,881.20 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 19.211 mata kepada 16,432.65 manakala Indeks Tenaga merosot 1.54 mata kepada 885.71.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
CTOS 1.330
CYBERE 0.930
FBMKLCI 1551.420
SIMEPLT 4.460
VLB 0.345

Comments

Login to comment.