Bursa Malaysia ditutup rendah hari ketiga berturut-turut

BeritaHarian Thu, Feb 09, 2023 07:10pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut pada hari ini susulan kekurangan pemangkin baharu ketika pelabur kekal berhati-hati dalam senario pasaran saham tempatan dan serantau yang tidak menentu, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama itu susut 6.11 mata atau 0.42 peratus kepada 1,464.64 berbanding 1,470.75 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.55 mata kepada 1,471.30, malah turut mencecah paras rendah 1,463.75 pada sesi tengah hari.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 522 berbanding 365 manakala 426 kaunter tidak berubah, 861 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.57 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 3.94 bilion unit bernilai RM2.51 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup bercampur-campur ketika pelabur terus menilai risiko lebih banyak kenaikan kadar faedah selepas beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengulangi bahawa bank pusat itu masih belum selesai dari segi pelaksanaan kitaran kadar faedah terbabit.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI telah melepasi paras sokongan 1,470 di tengah-tengah sentimen pelabur yang negatif terhadap ekuiti tempatan.

"Berikutan itu, kami menjangkakan aktiviti penjualan saham sebagai peluang untuk pelabur mengumpulkan saham di peringkat lebih rendah.

"Kami bagaimanapun kekal berpendirian positif terhadap prospek ekuiti tempatan dengan pandangan ramai terus optimis bahawa saham-saham mewah akan mencatat prestasi lebih kukuh dalam musim pendapatan korporat semasa," katanya.

Menurutnya, ini turut didorong oleh pembukaan semula ekonomi dan sempadan China yang akan menyuntik rangsangan terhadap ekonomi serantau, termasuk Malaysia.

Susulan itu, Thong menjangkakan FBM KLCI akan menyaksikan peningkatan semula dalam masa terdekat dan mengunjurkan indeks utama tersebut bergerak dalam jajaran 1,465 hingga 1,480 pada akhir minggu ini.

Dalam pada itu, Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI terbukti mengambil petunjuk daripada kelemahan semalaman Wall Street apabila indeks utama itu turun untuk sesi ketiga berturut-turut akibat kemerosotan yang dicatatkan oleh kaunter berkaitan minyak dan gas hari ini.

"Prestasi itu turut dipengaruhi oleh Laporan Tinjauan Ekonomi Bank Dunia bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin lebih perlahan kepada 4.0 peratus pada 2023.

"Kami berpendapat pemulihan akan berlaku tidak lama lagi dengan kalangan pelabur memantau rapat pengumuman data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2022, esok," katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia seperti Maybank susut dua sen kepada RM8.62, Petronas Chemicals rugi satu sen kepada RM8.24, CIMB berkurangan tiga sen kepada RM5.37 manakala Public Bank untung satu sen kepada RM4.13 dan TNB meraih dua sen kepada RM9.53.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan SMTrack turun setengah sen masing-masing kepada 4.5; Zen Tech International merosot satu sen kepada lima sen; Velesto Energy rugi 1.5 sen kepada 22 sen manakala MY EG Services tidak berubah pada 71.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas kehilangan 44.59 mata kepada 10,695.00; Indeks FBMT 100 berkurangan 46.68 mata kepada 10,359.52; Indeks FBM Emas Shariah turun 52.17 mata kepada 11,046.52 dan Indeks FBM 70 menguncup 76.20 mata kepada 13,612.93.

Indeks FBM ACE bagaimanapun menokok 22.63 mata kepada 5,812.47.

Bagi sektor pula, Indeks Perladangan turun 21.53 mata kepada 6,878.79; Indeks Tenaga berkurangan 8.94 mata kepada 884.88 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 39.35 mata kepada 15,915.21 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.35 mata kepada 190.33.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.12 bilion bernilai RM1.76 bilion berbanding 2.72 bilion saham bernilai RM2.09 bilion, semalam.

Waran meningkat kepada 342.21 juta unit bernilai RM51.05 juta daripada 266.72 juta unit bernilai RM36.69 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.11 bilion saham bernilai RM380.62 juta daripada 954.29 juta saham bernilai RM383.48 juta, sebelum ini.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 229.65 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (555.39 juta); pembinaan (63.10 juta); teknologi (432.63 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (74.31 juta); hartanah (163.48 juta); perladangan (35.15 juta); REIT (12.96 juta), dana tertutup (12,500); tenaga (413.73 juta); penjagaan kesihatan (69.88 juta); telekomunikasi dan media (25.54 juta); pengangkutan dan logistik (33.15 juta); dan utiliti (13.22 juta).

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
FBMKLCI 1541.250
MYEG 0.790
PBBANK 4.240
SAPNRG 0.050
SMTRACK 0.045
VELESTO 0.295
ZENTECH 0.015

Comments

Login to comment.