CTIM jangka pengurangan cukai M40, kenaikan untuk T20

HarianMetro Mon, Feb 20, 2023 10:25am - 1 year View Original


Kuala Lumpur: Institut Percukaian Malaysia (CTIM) berpendapat tiada cukai baharu yang akan diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 tetapi menjangkakan kerajaan mengekalkan pemotongan cukai pendapatan dua mata peratusan bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan kenaikan cukai 0.5 peratus untuk golongan berpendapatan tinggi (T20) yang dicadangkan dalam belanjawan sebelum ini.

Presiden CTIM Chow Chee Yen berkata, pengurangan cukai itu bertujuan membantu M40 dengan kenaikan kos sara hidup selain meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, manakala kenaikan cukai ke atas T20 adalah untuk menampung pengurangan kutipan hasil yang disebabkan oleh pemotongan cukai.

"Fokus utama kerajaan sekarang ini adalah membantu menangani kos sara hidup dan memperbaiki kedudukan fiskal negara.

"Oleh itu, saya menjangkakan pengurangan cukai masing-masing sebanyak dua peratus serta kenaikan cukai 0.5 peratus dikekalkan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 oleh kerajaan terdahulu, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak dua peratus untuk tahun taksiran 2023, daripada 13 peratus kepada 11 peratus bagi RM50,001-RM70,000 dan daripada 21 peratus kepada 19 peratus untuk RM70,001 hingga RM100,000.

Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, cukai untuk mereka yang berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5 peratus kepada 25 peratus.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggantikan Ismail selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov 2022, akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula menjelang 24 Februari ini.

Chow ketika bercakap mengenai cadangan 15 peratus Cukai Minimum Global (GMT) menjangkakan langkah-langkah relevan akan diumumkan dalam Belanjawan 2023 tetapi pelaksanaannya akan berlangsung tidak lebih awal daripada 2024 untuk memberi masa kepada pihak berkepentingan dalam mengemukakan maklum balas sebelum ia mula dimuktamadkan.

Jelasnya, GMT adalah sejajar dengan perkembangan cukai antarabangsa untuk memerangi ketirisan hasil termasuk aktiviti peralihan keuntungan, dan akan membolehkan Malaysia mempunyai hak pertama bagi mengenakan cukai tambah nilai ke atas hasil daripada entiti yang terletak di Malaysia yang membayar cukai di bawah ambang 15 peratus.

Sementara itu, beliau berkata, pengembalian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan selepas Perdana Menteri, baru-baru ini, menyatakan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai penggunaan secara meluas.

Ditanya sama ada kerajaan akan menambah lagi cukai jualan 10 peratus yang dikenakan ke atas barangan bernilai rendah (LVG) berharga kurang daripada RM500 yang dibeli secara dalam talian mulai 1 April 2023 dan seterusnya, Chow menolak kemungkinan itu.

"Saya tidak menjangkakan kerajaan akan menaikkan kadar dalam belanjawan pada peringkat awal pelaksanaannya, apa lagi dalam masa terdekat kerana ia dilihat boleh membebankan rakyat," katanya.

Beliau bagaimanapun menganggarkan kerajaan boleh mengutip kira-kira RM200 juta hingga RM300 juta setahun sebaik sahaja cukai jualan LVG dikuatkuasakan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.