Untung bersih 2022 MRCB meningkat kepada RM64.85 juta

BeritaHarian Mon, Feb 20, 2023 09:42pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 meningkat kepada RM64.85 juta daripada RM15.83 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan naik 121 peratus kepada RM3.21 bilion daripada RM1.45 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pemulihan yang kukuh untuk perolehan disebabkan operasi yang kembali normal selepas dua tahun gangguan berkaitan COVID-19, membawa kepada peningkatan pengiktirafan perolehan daripada kemajuan pembinaan yang tinggi di bahagian kejuruteraan, pembinaan dan persekitaran (ECE) serta bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan, dan jualan hartanah yang pulih secara keseluruhannya.

Katanya perolehan yang lebih tinggi itu turut mencerminkan konsolidasi tahun penuh syarikat projek Transit Aliran Ringan 3, Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULSB).

"Selain sumbangan daripada SULSB kepada bahagian ECE, keuntungan operasi yang lebih tinggi juga diperoleh daripada bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan pada 2022, hasil daripada kemajuan pembinaan dan jualan yang lebih baik daripada inventori yang belum dijual dan telah siap bahagian itu dan jualan unit daripada projek pembangunan hartanah yang sedang dalam pembinaan.

"Sentral REIT dan syarikat bersekutu, Sentral REIT Management Sdn Bhd, 27.94 peratus milik kumpulan, menyumbang gabungan keuntungan selepas cukai sebanyak RM14.9 juta kepada kumpulan berbanding RM17.8 juta pada tahun kewangan 2021," katanya.

Mengenai masa depan, MRCB berkata sumber utama perolehan dan keuntungan operasi adalah daripada bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan serta ECE.

Sehingga 31 Disember 2022, bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan mengekalkan trajektori jualannya yang lebih tinggi dan menjual hartanah bernilai RM487.9 juta daripada pembangunan yang telah siap dan sedang berjalan.

MRCB berkata bahagian itu akan terus memperoleh aliran pendapatan yang agak stabil daripada baki hartanah pelaburannya daripada Menara Celcom dan kepentingannya dalam Sentral REIT.

Katanya tender terbuka bahagian ECE berjumlah RM30 bilion sehingga 31 Disember 2022. – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.370
SENTRAL 0.790

Comments

Login to comment.