YNH Property dakwa 'diserang' berita palsu, ugutan jenayah

BeritaHarian Tue, Feb 21, 2023 03:47pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: YNH Property Bhd (YNH Property) mendakwa organisasinya termasuk pengarah, pengurusan serta pemegang sahamnya telah 'diserang' dengan beberapa siri berita palsu, yang mana diikuti ugutan jenayah.

Dalam satu kenyataan, YNH Property berkata, perkara berkenaan telah mendapat perhatian Lembaga Pengarah, yang mana beberapa portal dan laman web 'berita' yang diragui telah menerbitkan siri artikel yang mengandungi tuduhan, dakwaan dan kesimpulan serius ke atas syarikat dan pengarah, pengurusan dan pemegang saham.

Syarikat itu berkata, artikel berkenaan mengandungi penyataan palsu dan fitnah serta secara sengaja mengeluarkan maklumat bagi menimbulkan kerosakan dan bahaya serius kepada operasi syarikat.

"Kami juga perhatikan bahawa terdapat unsur ugutan jenayah yang berkaitan dengan berita palsu berkenaan kerana terdapat ancaman lebih banyak berita palsu jika sejumlah wang tidak dibayar.

"Laporan polis telah dibuat berhubung dengan ugutan jenayah serta artikel yang berniat jahat itu juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa pengawalseliaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Kami berharap pihak berkuasa akan menyiasat perkara ini dengan pantas dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam melindungi kepentingan pemegang saham dan pihak berkepentingan syarikat," katanya.

YNH Property berkata, ia akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan perundangan jika diperlukan untuk melindungi syarikat dan pihak berkepentingan.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan berita palsu dan ugutan jenayah untuk melemahkan reputasi syarikat dan pihak berkepentingan kami dan tidak akan mengalah dengan taktik jenayah yang digunakan terhadap kami.

"Syarikat komited untuk membawa perkara itu ke hadapan dan akan menggunakan semua cara yang ada untuk melindungi kepentingan syarikat dan pihak berkepentingan kami.

"Kami menasihatkan orang ramai untuk melayari www.ynhb.com.my untuk mengesahkan apa-apa perkara yang berkaitan dengan syarikat dan tidak terpengaruh oleh sebarang berita palsu," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

YNHPROP 0.460

Comments

Login to comment.