Bursa Malaysia catat kenaikan kecil

BeritaHarian Tue, Feb 21, 2023 07:43pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit apabila pelabur kekal tidak memasuki pasaran menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.55 mata atau 0.04 peratus untuk ditutup kepada 1,474.01 berbanding paras penutup 1,473.46 pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka tinggi naik 0.65 mata kepada 1,474.11 dan bergerak antara paras 1,471.85 dan 1,477.36 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 621 berbanding 316, manakala 382 kaunter tidak berubah, 905 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.38 bilion unit bernilai RM1.85 bilion daripada 3.14 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran tempatan dijangka tidak menentu di tengah-tengah peningkatan kemeruapan global.

"Bagaimanapun kami percaya pembelian saham berharga rendah akan berterusan. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berlegar di paras 1,470 hingga 1,490 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,460 manakala paras ketahanan pada 1,500," katanya.

Dagangan di Bursa Malaysia itu juga sejajar dengan prestasi bursa serantau lain.

Indeks Straits Times Singapura turun 0.16 peratus kepada 3,303.42, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.71 peratus kepada 20,529.49 dan Nikkei 225 Jepun jatuh 0.21 peratus kepada 27,473.10.

Peniaga ActivTrades, Anderson Alves, berkata dagangan ekuiti Asia tidak berubah pada Selasa apabila para peniaga menunggu minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Amerika Syarikat (FOMC) yang akan dikeluarkan pada Rabu.

"Ketika ini pasaran mengunjurkan Rizab Persekutuan AS menaikkan sedikit kadarnya di tengah-tengah data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan petunjuk bercampur-campur daripada Indeks Harga Pengguna AS terbaharu," katanya.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia Petronas Chemicals melonjak 16 sen kepada RM8.36, CIMB naik dua sen kepada RM5.44, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM20.40, Maybank turun empat sen kepada RM8.70 dan Public Bank susut satu sen kepada RM4.15.

Dalam kalangan saham cergas, EG Industries meningkat 21 sen kepada RM1.07, Velesto naik setengah sen kepada 24.5 sen, Zen Tech tidak berubah pada 3.5 sen, MMAG Holdings turun setengah sen kepada dua sen dan MYEG berkurangan 1.5 sen kepada 66 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 13.20 mata kepada 10,711.63, Indeks FBMT 100 turun 7.27 mata kepada 10,385.51, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 16.79 mata kepada 11,057.99, Indeks FBM 70 jatuh 57.27 mata kepada 13,474.49 dan Indeks FBM ACE turun 83.52 mata kepada 5,519,42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun sebanyak 23.85 mata kepada 16,041.50, Indeks Perladangan meningkat 38.91 mata kepada 6,853.34, Indeks tenaga jatuh 4.37 mata kepada 873.47, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.97 mata kepada 188.76.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.72 bilion saham bernilai RM1.44 bilion daripada 1.85 bilion saham bernilai RM1.77 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 424.71 juta unit bernilai RM68.59 juta daripada 391.79 juta unit bernilai RM57.0 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 1.05 bilion saham bernilai RM328.44 juta daripada 894.42 juta saham bernilai RM311.97 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 218.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (565.81 juta); pembinaan (71.31 juta); teknologi (247.13 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.95 juta); hartanah (162.50 juta); perladangan (36.14 juta); REITs (8.86 juta), dana tertutup (42,100); tenaga (196.46 juta); penjagaan kesihatan (74.94 juta); telekomunikasi dan media (38.63 juta); pengangkutan dan logistik (42.75 juta) dan utiliti (92.66 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
EG 1.250
FBMKLCI 1530.600
HLBANK 19.360
MMAG 0.175
PBBANK 4.210

Comments

Login to comment.