'Ini sebab kami pilih Malaysia'

BeritaHarian Thu, Mar 02, 2023 12:38pm - 1 year View Original


PETALING JAYA: Amazon Web Services (AWS) memilih Malaysia untuk membuka kemudahan serantau baharunya bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan besar di negara ini yang memerlukan infrastruktur tambahan bagi menyimpan data.

Antara pelanggan AWS di Malaysia ialah PETRONAS, Axiata Group, Bank Islam Malaysia, CelcomDigi, Johor Corporation dan PayNet.

Selain itu, terdapat organisasi sektor awam tempatan yang turut menjadi pelanggan AWS termasuk Cybersecurity Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pengarah Urusan Serantau Sektor Awam Seluruh Dunia di ASEAN AWS, Eric Conrad, berkata pelanggan menyetakan keperluan infrastruktur tambahan berkenaan bagi menyokong keperluan perniagaan masing-masing.

Katanya, AWS juga melihat pemecutan ketara dalam fasa pengadaptasian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Malah, permintaan daripada pelanggan yang mahukan data mereka lebih dekat juga semakin meningkat dan terdapat kes ia (data lebih dekat) menjadi satu syarat keperluan.

"Jadi, kami telah mengikuti permintaan mereka dan telah membuat penetapan bahawa ini adalah waktu yang sesuai untuk melabur dalam infrastruktur di sini," katanya pada taklimat media Kemas Kini Utama Perniagaan: AWS Malaysia di sini, hari ini.

Pada majlis itu, AWS mengumumkan bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Pelaburan itu juga adalah yang terbesar pernah dibuat syarikat itu di Malaysia setakat ini.

Infrastruktur serantau AWS baharu itu akan memberi pembangun, pemula, usahawan dan perusahaan, serta kerajaan, pendidikan dan organisasi tidak berasaskan keuntungan, pilihan yang lebih baik untuk menjalankan aplikasi mereka dan memberi perkhidmatan kepada pengguna akhir daripada pusat data yang terletak di Malaysia.

Sementara itu Naib Presiden Perkhidmatan Infrastruktur di AWS, Prasad Kalyanaraman, berkata infrastruktur serantau baharu AWS itu mencerminkan komitmen mendalam dan jangka panjang mereka kepada pelanggan dan organisasi di negara ini.

Katanya, ia juga adalah komitmen AWS untuk melayani permintaan yang besar dan berkembang pesat bagi perkhidmatan awan di seluruh Asia Tenggara.

"Kami berbangga untuk menyokong transformasi digital Malaysia dengan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan tertinggi yang tersedia pada infrastruktur awan AWS.

"Kami berharap dapat membantu institusi, syarikat permulaan dan syarikat Malaysia menyampaikan aplikasi berkuasa awan untuk memacu pembangunan ekonomi di seluruh negara dan untuk merangsang penciptaan pekerjaan, latihan kemahiran dan peluang pendidikan dalam komuniti di sekitar pusat data kami," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AXIATA 2.550
BIMB 2.430
CDB 4.040

Comments

Login to comment.