Kemasukan Tesla ke Malaysia lonjak saham berkait EV

BeritaHarian Thu, Mar 02, 2023 02:49pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Saham syarikat-syarikat berkaitan kenderaan elektrik (EV) menyaksikan momentum belian hari ini susulan kelulusan diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Dalam dagangan awal hari ini, KESM Industries Bhd melonjak 26 sen kepada RM8.40, Pentamaster Corporation Bhd menambah empat sen kepada RM4.94, Genetec Technology Bhd menokok dua sen kepada RM2.83 dan Hong Seng Consolidated Bhd naik setengah sen lebih tinggi pada 13.5 sen.

Kemasukan Tesla ke Malaysia telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif 'BEV Global Leaders' bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia.

Tesla ialah pemohon pertama inisiatif oleh MITI ini.

Tesla beroperasi menggunakan model jualan pengguna secara terus tanpa membabitkan pengedar.

Pusat Pengalaman Tesla adalah lokasi di mana pengguna boleh mempelajari lebih mendalam mengenai kenderaan itu.

Bakal pembeli perlu membuat tempahan secara dalam talian dan kereta akan diterima selepas stok diperuntukkan.

Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang automotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih.

Syarikat ini mereka bentuk dan mengeluarkan EV (kereta dan trak), simpanan tenaga bateri dari rumah ke skala grid, panel solar serta produk dan perkhidmatan berkaitan.

Tesla adalah salah satu syarikat paling bernilai di dunia dan setakat ini, ia adalah pengeluar kenderaan paling bernilai di dunia.

Syarikat itu mempunyai lebih 120,000 pekerja di seluruh dunia.

Menteri Perdagagan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di negara ini telah menarik Tesla untuk memilih Malaysia.

Beliau berkata, sektor E&E dan semikonduktor, adalah komponen penting dalam mana-mana pembuatan kenderaan elektrik (EV) dan ini membuktikan Malaysia mempunyai ekosistem yang kukuh untuk menyokong pembuatan EV.

Ditanya mengenai anggaran saiz pelaburan Tesla, Tengku Zafrul berkata ia belum dimuktamadkan.

"Ini adalah pelaburan swasta dan kami akan menunggu," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

GENETEC 1.880
HONGSENG-PA 1.740
KESM 6.200

Comments

Login to comment.