Wall Street menjunam, Bursa Malaysia merosot

BeritaHarian Fri, Mar 10, 2023 10:27am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada penurunan Wall Street dalam tempoh semalaman ekoran kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah yang lebih besar di Amerika Syarikat (AS) selain kelemahan dalam pasaran serantau.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran merosot 6.85 mata kepada 1,442.68 daripada 1,449.53 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 3.73 mata lebih rendah kepada 1,445.80.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 256 berbanding 83, manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,704 kaunter tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 253.85 juta unit bernilai RM205.02 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan FBM KLCI terus susut ke dalam wilayah negatif memandangkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sememangnya telah dijangkakan.

Firma pembrokeran itu menjangkakan sentimen global kekal tegang sebelum data senarai pembayaran gaji bukan ladang AS dikeluarkan lewat hari ini.

"Berdasarkan sentimen negatif di luar negara, kami percaya pasaran saham tempatan mungkin mengalami dagangan secara berhati-hati ekoran risiko global yang semakin meningkat," tambahnya.

Menurutnya prestasi negatif Wall Street mungkin menyebabkan lagi penjualan ketara saham teknologi di peringkat tempatan.

"Sementara itu, sentimen saham perbankan mungkin terjejas, berikutan kelemahan dari AS.

"Bagaimanapun, sektor pelancongan dan penerbangan dijangka memperoleh daya tarikan dalam situasi tema pembukaan semula ekonomi," jelasnya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia iaitu Public Bank susut dua sen kepada RM4.11, Petronas Chemical turun lima sen kepada RM6.95, Tenaga turun lapan sen kepada RM9.37 dan CIMB tidak berubah pada RM5.50, manakala Maybank naik satu sen. kepada RM8.72.

Antara saham aktif, Cape EMS melonjak 49 sen kepada RM1.39, Hong Seng Consolidated menokok satu sen pada 15.5 sen, AwanBiru Technology menambah 1.5 sen kepada 46 sen dan Eden Inc naik setengah sen kepada RM1.80, manakala Vinvest Modal kekal tidak berubah pada 22.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 42.02 mata kepada 10,530.48; Indeks FBM 70 kurang 21.39 mata kepada 13,432.28; Indeks FBMT 100 turun 40.88 mata kepada 10,208.37; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 52.93 mata kepada 10,757.24, dan Indeks ACE FBM susut 17.90 mata kepada 5,428.70.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 26.27 mata kepada 16087.73; Indeks Tenaga kurang 8.25 mata kepada 874.84; Indeks Perladangan menguncup 14.34 mata kepada 6,815.59 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.98 mata kepada 173.85.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AWANTEC 0.385
BURSA 7.450
CEB 0.910
EDEN 0.160
FBMKLCI 1536.070
HONGSENG-PA 1.740
PBBANK 4.220

Comments

Login to comment.