KPS bantu B40 sertai ternakan ayam kampung
KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) memperuntukkan RM215,000 atas dasar inisiatif membantu masyarakat B40 di sekitar Selangor dengan menyediakan perniagaan penternakan ayam kampung bersama MyFundAction.
Sustainable Community Poultry Project (SCoPP) di bawah kelolaan MyFundAction itu akan membuka ruang dan peluang kepada 20 orang B40 setiap tahun untuk menternak 200 ekor ayam dalam permulaan kitaran dan 300 serta 500 ekor ayam dalam kitaran kedua dan ketiga.
Selain dibekalkan 200 ekor anak ayam, penternak juga dibekalkan dengan kelas-kelas khas seperti penjagaan reban, pemasaran, pengurusan operasi, kewangan dan lain-lain bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang penternakan ayam kampung.
Hasil daripada projek ini, mereka akan dapat membekalkan ayam kampung kepada peraih dan secara tidak langsung akan dapat mengeluarkan diri mereka daripada garis kemiskinan kebangsaan dengan
memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.
Pengurus Projek SCoPP, Hariz Danial Safruddin, berkata penerima manfaat akan dipantau melalui program bimbingan dengan rapi dalam masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi mengelakkan permasalahan yang berlaku sepanjang menjalani projek SCoPP.
Beliau berkata, penerima manfaat dipilih berdasarkan beberapa kriteria bagi menjamin kelangsungan projek.
"Antara kriteria berkenaan adalah penerima manfaat perlulah ketua keluarga yang mempunyai akses kepada pemilikan tanah untuk dibina reban ayam, mempunyai keinginan yang tinggi serta pengetahuan yang luas berkenaan penternakan ayam.
"Penerima manfaat juga perlulah dalam lingkungan 50 tahun dengan pendapatan maksimum RM3,000 sebulan. Mereka perlu bersedia untuk komited sekurang-kurangnya selama dua tahun dengan menghasilkan enam ke tujuh kitaran penternakan," katanya dalam satu kenyataan.
MyFundAction amat mengalu-alukan sokongan dan kesudian mana-mana syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan sekiranya ingin membantu masyarakat yang rentan.
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Related Stocks
KPS | 0.695 |
Comments