MMAG sumbang RM100,000 bantu mangsa banjir di Johor

BeritaHarian Mon, Mar 13, 2023 06:36pm - 1 year View Original


SEGAMAT: Susulan bencana banjir di negeri Johor baru-baru ini, MMAG Holdings Bhd (MMAG) telah menyumbangkan RM100,000 dalam bentuk bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir.

Sumbangan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap banjir teruk yang melanda Johor khususnya di kawasan Segamat yang menyebabkan lebih 10,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, sumbangan oleh Pengerusi MMAG, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman telah disampaikan kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Binti Mustafa pada 11 Mac 2023 di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang.

Zaliha juga ialah Ahli Parlimen Sekijang, sebuah kawasan pilihan raya persekutuan daerah Segamat.

Sumbangan itu akan digunakan untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.

"Kita semua berasa amat sedih menyaksikan kemusnahan akibat banjir yang memberi kesan kepada kehidupan ramai orang, memaksa ramai keluarga berpindah dari rumah dan menyebabkan ramai yang memerlukan bantuan segera. Kami memahami kesukaran yang tidak dapat dibayangkan ini dalam tempoh yang sukar. Ingatan dan doa kami bersama mangsa banjir," kata Mohd Khairul Adib dalam satu kenyataan.

Katanya, melalui usaha kutipan derma serta sumbangan, kami berharap ia akan membantu komuniti untuk kembali pulih dan membina semula kehidupan ekoran krisis ini.

"Kami juga bersyukur kerana mendapat sokongan Menteri Kesihatan dalam inisiatif ini, dan kami berharap acara ini dapat mengumpulkan masyarakat untuk menghulurkan sokongan serta bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir," tambahnya.

Mulai sekarang hingga pertengahan April, untuk tempoh sebulan, MMAG bersama kurier dan cabang logistiknya, Line Clear Express & Logistics Sdn Bhd turut menawarkan penghantaran bantuan percuma sebagai sebahagian daripada usaha bantuan banjirnya.

Barangan yang disumbangkan akan dikutip dari semua hab yang mengambil bahagian dan dihantar ke Line Clear Express Yong Peng Hub, yang kemudiannya akan dihantar ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang.

Orang ramai boleh menghantar barangan keperluan seperti pakaian, selimut, lampin, makanan kering, air bersih, barangan kebersihan dan peralatan mandian ke tempat menghantar di hab yang disenaraikan di bawah:

•Line Clear Express Sungai Tiram Hub

•Line Clear Express Sungai Bakap Hub

•Line Clear Express Alor Setar Hub

•Line Clear Express Ipoh Hub

•Line Clear Express Nilai Hub

•Line Clear Express Beruntung Hub

•Line Clear Express Ayer Keroh Hub

•Line Clear Express Senawang Hub

•Line Clear Express Gelang Patah Hub

•Line Clear Express Johor Jaya Hub

•Line Clear Express Yong Peng Hub

•Line Clear Express Pengkalan Chepa Hub

•Line Clear Express Gua Musang Hub

•Line Clear Express Kuala Terengganu Hub

•Line Clear Express Kuantan Hub

•Line Clear Express Bentong Hub

Inisiatif kutipan derma dan sumbangan serta penyampaian bantuan percuma adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam tanggungjawab sosial korporat dan menyumbang kembali kepada komuniti yang mereka berkhidmat.

Barangan sumbangan untuk mangsa banjir akan dihantar ke kawasan yang terjejas teruk seperti Kluang, Kota Tinggi dan Segamat serta daerah lain yang memerlukan bantuan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MMAG 0.200

Comments

Login to comment.