Bursa Malaysia jejaki kenaikan semalaman Wall Street

BeritaHarian Wed, Mar 15, 2023 11:09am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada Rabu, mengambil petunjuk positif daripada prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman apabila pelabur berminat mengambil risiko dengan mempertimbangkan bahawa kesan kegagalan bank AS baru-baru ini mungkin telah dielakkan, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 10.37 mata kepada 1,404.20 daripada 1,393.83 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 6.27 mata lebih baik kepada 1,400.10.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 335 berbanding 97, manakala 196 kaunter tidak berubah, 1,620 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 423.36 juta unit bernilai RM248.51 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS terkini adalah seiring dengan jangkaan, yang menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin kurang agresif dengan kenaikan kadar faedah.

Beliau berkata Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) melonjak 336 mata, manakala Nasdaq menambah 239 mata dengan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS lebih tinggi iaitu pada 3.69 peratus.

"Di pasaran tempatan, FBM KLCI susut di bawah paras 1,400 disebabkan penjualan secara meluas ekoran situasi amat buruk di peringkat rantau, yang merupakan tindak balas spontan terhadap kegagalan bank di AS.

"Walau bagaimanapun, kami berpandangan pembelian semasa harga murah akan berlaku hari ini dengan harapan Fed akan keberatan untuk menaikkan kadar faedah.

Justeru, kami menjangkakan pembelian kembali kepada bank dan saham telekomunikasi hari ini," katanya.

Thong juga menjangkakan indeks mengalami lantunan hari ini dan berlegar dalam julat 1,400 hingga 1,415.

Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank dan TNB masing-masing naik enam sen kepada RM8.40 dan RM9.33, Public Bank meningkat tujuh sen kepada RM3.95 dan CIMB menambah lima sen kepada RM5.22, namun Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM6.94.

Antara saham aktif, Oppstar yang baru disenaraikan di Pasaran ACE melonjak RM1.49 kepada RM2.12, Hong Seng Consolidated meningkat setengah sen kepada 15 sen, Destini menokok setengah sen kepada lapan sen, Jade Marvel naik 1.5 sen kepada 31 sen dan BSL kurang setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 80.77 mata kepada 10,262.68; Indeks FBM 70 menambah 110.99 mata kepada 13,178.60; Indeks FBMT 100 naik 75.98 mata kepada 9,954.75; Indeks FBM Emas Syariah menokok 65.54 mata kepada 10,547.69 dan Indeks FBM ACE meningkat 49.21 mata kepada 5,226.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 134.31 mata kepada 15,513.54; Indeks Tenaga naik 9.49 mata kepada 833.77; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.40 mata kepada 169.93 serta Indeks Perladangan naik 33.94 mata kepada 6,701.24.

– Bernama

TAG: Bursa Malaysia, Thong Pak Leng, Wall Street

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
DESTINI 0.035
FBMKLCI 1571.480
HONGSENG-PA 1.740
OPPSTAR 1.270
PBBANK 4.250

Comments

Login to comment.