Belian saham harga murah dorong kenaikan Bursa Malaysia

BeritaHarian Tue, Mar 21, 2023 07:52pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit pada Selasa berikutan belian ketika harga murah dalam saham wajaran tinggi terpilih serta seiring dengan kebanyakan pasaran serantau.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.74 mata, atau 0.34 peratus, kepada 1,406.55 daripada 1,401.81 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras dibuka 5.35 mata lebih tinggi pada 1,407.16 dan bergerak antara jajaran 1,403.96 hingga 1,412.81 sepanjang sesi hari ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 483 berbanding 367, manakala 394 kaunter tidak berubah, 1,010 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.23 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 3.47 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Isnin.

"Walaupun sentimen pasaran global bertambah baik, kami lebih suka kekal berhati-hati kerana kami menganggap turun naik pasaran akan kekal tinggi dalam jangka terdekat walaupun indeks penanda aras kekal dalam kedudukan terlebih jual," kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng kepada Bernama.

Beliau menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam dagangan jajaran kecil, berlegar dalam julat 1,400-1,415 untuk baki minggu ini.

"Pada sudut teknikal, sokongan serta-merta dilihat pada 1,400 diikuti 1,390 manakala sokongan pada 1,420," katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura memperoleh 1.25 peratus kepada 3,179.02, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.36 peratus kepada 19,258.76, Indeks Komposit SSE China mencatatkan 0.64 peratus kepada 3,255.65, manakala Kospi Korea Selatan naik 0.38 peratus kepada 2,388.35.

Bagi pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank meningkat enam sen kepada RM8.40, Public Bank dan CIMB masing-masing naik empat sen kepada RM3.99 dan RM5.19, TNB tidak berubah pada RM9.47, Petronas Chemicals susut 18 sen kepada RM6.82, dan Hong Leong Bank rugi 10 sen kepada RM20.

Untuk saham aktif, Top Glove meningkat 5.5 sen kepada 96 sen, Careplus meningkat empat sen kepada 31.5 sen, Malaysia Building Society naik 1.5 sen kepada 66 sen, Velesto menokok satu sen kepada 20 sen, manakala Zen Tech dan Hong Seng Consolidated masing-masing turun separuh sen kepada 2.5 sen dan 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 41.67 mata kepada 10,290.78, Indeks FBM 70 lebih kukuh sebanyak 78.56 mata kepada 13,290.45, dan Indeks FBMT 100 mengukuh 39.82 mata kepada 9,987.33.

Indeks FBM Emas Syariah naik 31.97 mata kepada 10,618.28, dan Indeks FBM ACE naik 42.32 mata kepada 5,261.05.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 80.06 mata kepada 15,534.08, Indeks Tenaga meningkat 10.02 mata kepada 795.23, Indeks Perladangan berkurangan sebanyak 28.15 mata kepada 6,752.32, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.53 mata kepada 167.01.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 2.07 bilion saham bernilai RM1.59 bilion daripada 2.28 bilion saham bernilai RM1.66 bilion pada Isnin.

Waran pula susut kepada 358.33 juta unit bernilai RM61.74 juta daripada 550.98 juta unit bernilai RM86.67 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 778.95 juta saham bernilai RM201.03 juta daripada 633.67 juta saham bernilai RM182.64 juta pada Isnin.

Di samping itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 322.51 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (320.06 juta); pembinaan (37.14 juta); teknologi (359.44 juta); SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (98.58 juta); harta (98.80 juta); ladang (22.49 juta); REIT (5.71 juta), dana tertutup (tiada); tenaga (147.19 juta); penjagaan kesihatan (361.24 juta); telekomunikasi dan media (244.87 juta); pengangkutan dan logistik (26.41 juta); dan utiliti (25.61 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
FBMKLCI 1571.480
HLBANK 19.500
HONGSENG-PA 1.740
MBSB 0.785
PBBANK 4.240

Comments

Login to comment.