UKKM IPT pertama fokus bidang koperasi

HarianMetro Tue, May 23, 2023 05:05pm - 11 months View Original


Petaling Jaya: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang memfokus bidang koperasi sekali gus menawarkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, UKKM mula beroperasi sebagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sejak 29 Mac lalu.

Katanya, bagi pelajar pengambilan awal, UKKM turut menawarkan Hadiah Pendidikan Koperasi berupa pengurangan 50 peratus bayaran keseluruhan yuran pengajian, meliputi kesemua program pengajiannya.

"UKKM satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan program di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam bidang keusahawanan koperasi serta dirangka bagi melahirkan golongan profesional dalam kebitaraan keusahawanan koperasi.

"Kesemua kursus pengajian yang ditawarkan juga diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan untuk permulaan UKKM menyasarkan 300 ke 500 pengambilan pelajar akan dilakukan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas praperasmian UKKM dan Rumah Terbuka Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini, hari ini.

Ewon berkata, UKKM akan bertindak sebagai agen perubahan bagi mentransformasi dan membina gerakan koperasi yang lebih kompeten dan berdaya saing setanding koperasi luar negara bagi memasuki pasaran pekerjaan sebagaimana yang digariskan di dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021 hingga 2025.

Menurutnya, Kuskop sentiasa menyokong usaha untuk meningkatkan pembangunan modal insan di negara ini melalui agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dengan memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran.

"Justeru, usaha UKKM ini dilihat sangat signifikan dengan hasrat Kuskop untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor koperasi di Malaysia," katanya.

UKKM menawarkan lima program pengajian iaitu Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Ijazah Sarjana Muda (Keusahawan Koperasi) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Koperasi).

Program diploma dan ijazah sarjana muda UKKM bakal memulakan sesi pengajian pada September ini, manakala program sarjana akan membuka tirainya lebih awal, pada Julai.

Ia diterajui Prof Datuk Dr Azali Mohamed selaku Naib Canselor.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.