Media Prima catat untung RM59.3 juta

HarianMetro Thu, May 25, 2023 07:00am - 1 year View Original


Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan pendapatan RM1.2 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM59.3 juta bagi tempoh 15 bulan bagi suku dan tempoh berakhir pada 31 Mac 2023.

Prestasi itu dicatatkan di kala menghadapi persekitaran perniagaan mencabar dan keadaan pasaran pengiklanan suram.

Hasil Media Prima bagi suku berakhir pada 31 Mac 2023 pula RM210.8 juta dan PAT RM5.4 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata, persekitaran ekonomi global yang kian mencabar memberi kesan kepada prestasi keseluruhan Media Prima bagi tempoh dikaji terutama di dalam segmen pengiklanan dan perdagangan.

"Bagaimanapun, kesan ini diimbangi pendapatan bukan pengiklanan dan inisiatif pengurusan kos berterusan serta pendapatan daripada operasi lain.

"Kami yakin dengan keupayaan kumpulan dalam menghadapi cabaran semasa dengan strategi dilaksanakan.

"Ini termasuk pengurusan kos secara optimum dan kebolehan bertindak balas kepada perubahan keadaan perniagaan.

"Kumpulan memberi fokus kepada pertumbuhan dalam pendapatan bukan pengiklanan seperti jualan kandungan dan platform membeli-belah di rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, kumpulan menjangkakan 2023 kekal mencabar di mana persaingan sengit untuk bahagian audien di platform media konvensional dan digital memberi kesan ke atas perbelanjaan pengiklanan.

"Tekanan inflasi, peningkatan kadar faedah, dan ketidaktentuan ekonomi juga memberi impak.

"Kami terus mempertahankan kedudukan kumpulan dengan menyediakan kandungan menarik untuk penonton di setiap platform media sambil menawarkan inventori pengiklanan premium untuk pengiklan.

"Media Prima melihat peluang menjana pendapatan melalui perkhidmatan penstriman video - tonton yang kini berwajah baharu dan ditambah baik untuk memenuhi permintaan kandungan tempatan dalam kalangan pengguna." katanya.

Menurutnya, kumpulan terus mempertahankan kedudukan di setiap sektor perniagaannya.

Capaian digital Media Prima, diterajui jenama di bawah REV Media Group dan The New Straits Times Press, kekal sebagai portal berita dalam talian paling banyak dibaca dalam rangkaian mudah alih di Malaysia.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MEDIA 0.495

Comments

Login to comment.