KUALA LUMPUR: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) memulakan 2023 dengan keuntungan bersih sebanyak RM109 juta bagi suku pertama, kenaikan tiga peratus berbanding suku sama tahun lalu.
PMRMB mengekalkan perolehan sebanyak RM3.8 billion pada suku pertama dengan peningkatan jualan domestik sebanyak 13 peratus walaupun harga minyak semakin merosot.
Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dalam sektor runcit membantu syarikat meluaskan rangkaian stesen Petron.
Penanda aras minyak mentah Dated Brent merosot kira-kira 20 peratus dan berada pada harga purata AS$81 setong pada suku pertama berbanding AS$101 setong pada tempoh yang sama tahun lalu.
Penurunan harga minyak mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap krisis ekonomi global yang semakin memuncak.
Bagaimanapun, keuntungan kasar yang dicatatkan sebanyak RM177 juta adalah 26 peratus lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah berbanding dengan tahun lalu.
Namun, ia diimbangi oleh margin penapisan serantau yang stabil pada tempoh terbabit.
Pengerusi PMRMB, Ramon S Ang, berkata syarikat berpuas hati kerana berjaya mencatatkan prestasi yang kukuh di awal tahun ini.
"Walaupun beroperasi dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu, pertumbuhan Petron yang menitikberatkan pengurusan risiko telah membolehkan kami lebih cepat menyesuaikan diri dengan perubahaan dan cabaran semasa.
"Oleh itu, kami akan terus memanfaatkan kekuatan dan berusaha untuk mengekalkan momentum positif ini," katanya dalam satu kenyataan.
Petron dan rakan kongsi perniagaannya mempunyai kesedaran dalam mengimbangi objektif prestasi kewangannya dengan tanggungjawab korporat dalam program persekitaran dan sosial.
Pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan tenaga di Loji Penapisan Petron dengan mengalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
Antaranya termasuklah pemasangan panel solar, serta pembinaan satu lagi loji biodiesel yang berasaskan minyak sawit.
Dari segi tanggungjawab sosial pula, sebahagian besar peniaga stesen minyak Petron menawarkan bungkusan makanan percuma kepada orang awam untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.