Bursa Malaysia hampir jatuh bawah 1,400 mata

BeritaHarian Thu, May 25, 2023 07:12pm - 11 months View Original


KUALA LUMPUR: Kegiatan jualan membabitkan kaunter perladangan yang muncul agak lewat mengheret turun dagangan Bursa Malaysia untuk mengakhiri urus niaga pada paras rendah harian hari ini sejajar dengan prestasi suram kebanyakan pasaran serantau lain.

Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.14 mata atau 0.51 peratus untuk ditutup pada 1,402.48 berbanding 1,409.62 pada penutup Rabu.

Indeks barometer dibuka pada paras 1,408.94 pagi ini, susut sebanyak 0.68 mata yang kemudiannya berlegar ke paras tertinggi 1,411.42 pada sesi awal pagi.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan turut menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 556 berbalas 293, manakala 409 kaunter tidak berubah, 1,000 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.36 bilion unit bernilai RM1.63 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM1.70 bilion pada hari Rabu.

Sime Darby Plantation dan Kuala Lumpur Kepong adalah dua penyumbang utama kepada kerugian dalam indeks penanda aras, masing-masing susut 13.0 sen dan 76.0 sen kepada RM4.28 dan RM21.78, dengan gabungan 2.83 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup rendah sejajar dengan kebanyakan indeks serantau utama lain selepas jualan global semalam.

"Pelabur bimbang tentang ekonomi AS dan kemungkiran hutang kerajaan AS yang berkemungkinan boleh menyebabkan sentimen negatif di seluruh dunia.

"Di pasaran domestik, FBM KLCI diniagakan dalam arah aliran rendah kerana ketiadaan pemangkin baharu. Namun begitu, kami berharap aktiviti memburu saham berharga murah akan muncul, terutamanya dalam kaunter perbankan kerana kami mengunjurkan pengumuman pendapatan daripada sektor ini dalam beberapa hari akan datang kekal baik.

"Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam aliran julat 1,400 hingga 1,410 menjelang hujung minggu dengan sokongan serta-merta pada 1,400 manakala rintangan pada 1,440," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Petronas Chemicals menokok 2.0 sen kepada RM6.97, Tenaga Nasional meningkat 6.0 sen menjadi RM9.58, Public Bank turun 3.0 sen kepada RM3.89 dan CIMB susut 2.0 sen kepada RM4.96 manakala Maybank tidak berubah pada RM8.56.

Bagi kaunter aktif, Velesto Energy susut 3.0 sen kepada 22.5 sen, Bahvest Resources lemah setengah sen kepada 18.5 sen, Parkson Holdings meningkat 1.0 sen kepada 16.0 sen, Widad Group menambah setengah sen menjadi 43.0 sen manakala MSM Malaysia Holdings mengukuh 22.0 sen kepada RM1.05.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 56.07 mata kepada 10,284.41, Indeks FBMT 100 turun 53.73 mata kepada 9,989.96 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 72.69 mata menjadi 10,644.10.

Indeks FBM 70 kerugian 84.24 mata kepada 13,425.02 manakala Indeks FBM ACE susut 3.61 mata kepada 4,944.19.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata kepada 164.14, Indeks Perladangan susut 130.92 mata menjadi 6,805.75, Indeks Tenaga kehilangan 11.38 mata kepada 818.76 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 30.90 mata kepada 15,318.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun menjadi 1.47 bilion unit bernilai RM1.40 bilion daripada 1.71 bilion unit bernilai RM1.50 bilion pada Rabu.

Bagaimanapun, jumlah dagangan waran meningkat kepada 332.16 juta unit bernilai RM46.03 juta berbanding 293.91 juta unit bernilai RM41.75 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turut mengukuh kepada 553.75 juta saham bernilai RM178.96 juta daripada 540.12 juta saham bernilai RM156.51 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 389.02 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (272.94 juta); pembinaan (37.67 juta); teknologi (145.10 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (55.80 juta); hartanah (134.79 juta); perladangan (31.36 juta); REIT (9.71 juta), dana tertutup (41,000); tenaga (215.15 juta); penjagaan kesihatan (85.96 juta); telekomunikasi dan media (34.28 juta); pengangkutan dan logistik (22.38 juta); dan utiliti (35.41 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BAHVEST 0.535
BURSA 7.450
FBMKLCI 1561.640
KLK 22.760
MSM 3.190
PARKSON 0.240
PBBANK 4.210
SIMEPLT 4.400
TENAGA 11.720
VELESTO 0.270
WIDAD-WA 0.030

Comments

Login to comment.