LANGKAWI: Pos Logistics Bhd, anak syarikat milik penuh Pos Malaysia Bhd menandatangani perjanjian kerjasama dengan Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Pos Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kerjasama dengan MAIA dan agensi kerajaan yang berkaitan adalah untuk menubuhkan spektrum penuh perkhidmatan Logistik Pihak Kelima (5PL) kepada industri aeroangkasa.
Katanya, ia merangkumi kemudahan gudang dan penyimpanan, pengurusan inventori dan sistem pengesanan, penyatuan pembekal dan pengurusan pesanan, pengangkutan, analisis data masa sebenar dan laporan, perkongsian kemahiran, sumber dan teknologi, serta kerjasama untuk penambahbaikan yang
berterusan.
"Kerjasama ini menandakan satu kejayaan bagi Pos Logistics dalam aspirasi mereka untuk menjadi
pemain utama dalam industri logistik aeroangkasa di Malaysia," katanya.
Kenyataan menambah, Pos Logistics sedang giat untuk menjadi sebahagian daripada Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030 dan inisiatif logistik di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
"Hasrat ini dipacu oleh kemampuannya dalam menawarkan penyelesaian logistik inovatif kepada industri aeroangkasa, dan kesediaannya untuk terus menjalinkan kerjasama dengan pemain-pemain lain di dalam industri ini.
"Secara keseluruhan, Pos Logistics yakin yang penyertaan mereka dalam LIMA akan terus memperkukuhkan kedudukan pasaran dan menerajui peluang perniagaan yang baharu," katanya.
Kerjasama itu dimeterai oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pos Logistics, Shahrulnizam Ahmad manakala MAIA diwakili Presidennya, Naguib Mohd Nor.
Majlis disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.