GDEX labur RM25 juta tingkat kapasiti hab automatik

BeritaHarian Tue, May 30, 2023 01:11pm - 10 months View Original


PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan penghantaran ekspres, GDEX Bhd melabur RM25 juta bagi melaksanakan operasi hab automatik, kemudahan yang akan meningkatkan kapasiti penyisihan tiga kali ganda kepada 350,000 penghantaran sehari.

Kemudahan penyisihan automatik sepenuhnya berkeluasan 145,000 kaki persegi menggunakan teknologi pintar dengan ketepatan pengisihan 99.99 peratus untuk memendekkan masa pemulihan dan mengurangkan risiko kerosakan bungkusan selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan.

Dikenali sebagai GDEX Auto Hub, kemudahan itu adalah kira-kira 30 peratus lebih besar daripada hab penyisihan kumpulan sebelum ini di Petaling Jaya.

GDEX Auto Hub menggunakan penyisih sawat bersilang (cross-belt) dua dek untuk memaksimumkan kapasiti penyisihan dengan menggunakan ruang udara hab.

Selain itu, GDEX Auto Hub turut menggunakan peralatan mesra alam seperti forklift dan bicu palet elektrik, yang dikuasakan oleh bateri boleh dicas semula, menjadi sebahagian usaha berterusan GDEX untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi harian kumpulan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GDEX, Teong Teck Lean, berkata GDEX Auto Hub melengkapkan inisiatif transformasi GDEX 2.0 yang memerlukan pembinaan ekosistem logistik lengkap dan berasaskan teknologi yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin dinamik.

"GDEX Auto Hub menjadi satu lagi kejayaan dalam memperkukuh GDEX untuk masa hadapan. Kami terus memanfaatkan keupayaan dalam kejuruteraan proses dan menyepadukan penyelesaian teknologi terkini dalam operasi untuk menawarkan kepantasan dan kebolehpercayaan kepada perniagaan.

"Dengan cara ini, kami secara strategik mengubah cara memindahkan penghantaran, sambil turut menggerakkan perniagaan pada kadar yang dipercepatkan," katanya kepada media selepas majlis perasmian GDEX Auto Hub di sini, hari ini.

Perasmian GDEX Auto Hub disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Yang turut hadir, Pengerusi GDEX, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Mengulas lanjut, Teck Lean berkata, teknologi penyisihan baharu di GDEX Auto Hub menyediakan peluang kepada pekerja syarikat itu meningkatkan kemahiran, selaras dengan keperluan negara.

Katanya, GDEX telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kerjaya terutama untuk mereka yang tidak berjaya melengkapkan pendidikan di sekolah menengah.

"Kami telah menubuhkan GDEX Academy yang menawarkan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam segmen logistik dan penghantaran. Tahun lalu sahaja, kami telah menyedia latihan dan pendidikan kepada lebih 5,000 individu," katanya.

Beliau menjelaskan, sektor penghantaran ekspres dan logistik kekal sebagai komponen penting dalam ekonomi negara dan menjadi talian hayat kepada banyak perniagaan.

"Kami akan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkasakan industri, di samping mengukuhkan kedudukan sebagai pemain terkemuka di Asia Tenggara.

"GDEX akan terus mengemudi inisiatif GDEX 2.0 untuk memupuk ekosistem berasaskan teknologi, yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, menyediakan rangkaian penyelesaian dan perkhidmatan serba boleh, serta meluaskan jangkauannya kepada pelbagai jenis pelanggan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

GDEX 0.180

Comments

Login to comment.