Pecca catat prestasi keuntungan sukuan terbaik

BeritaHarian Tue, May 30, 2023 09:16pm - 10 months View Original


KUALA LUMPUR: Pembuat upholsteri automotif Pecca Group Bhd (Pecca) kekal dalam landasan untuk meraih satu lagi keuntungan sukuan terbaik dalam tahun kewangan semasa 2023 (TK2023).

Ia susulan jualan suku tahunan tertinggi bagi sarung kerusi kereta upholsteri yang menyaksikan peningkatan 6.0 peratus dalam keuntungan bersih untuk suku ketiga TK2023.

Kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM8.56 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2023, berbanding RM8.09 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Ini didorong oleh peningkatan pendapatan sebanyak 28 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM58.58 juta dalam tempoh tiga bulan.

"Wajar diperhatikan, ia adalah keuntungan bersih suku ketiga dan angka hasil terbesar dalam rekod Pecca.

"Pecca, yang mencatatkan margin keuntungan bersih dua angka sebanyak 14.6 peratus pada suku ketiga, yakin momentum pertumbuhannya akan berterusan pada suku akan datang.

"Ini memandangkan pelanggan automotif utama Pecca termasuk Perodua, Toyota, Proton, Nissan, Mitsubishi, Peugeot dan Volkswagen melihat tempahan kereta yang semakin kukuh, Kumpulan menjangka untuk terus mengharungi gelombang pertumbuhan permintaan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Bagi sembilan bulan pertama TK2023, Pecca mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM25.32 juta, meningkat 73 peratus tahun ke tahun daripada RM14.60 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Pencapaian cemerlang ini disumbangkan oleh peningkatan pendapatan sebanyak 47 peratus kepada RM166.93 juta bagi tempoh sembilan bulan.

Pada suku ketiga TK2023, pendapatan Kumpulan didorong oleh permintaan untuk upholsteri sarung kerusi kereta, jahitan dan pembekalan sarung aksesori kereta bersama-sama dengan penyediaan perkhidmatan pembalut dan jahitan.

Setiap subsegmen masing-masing menyumbang kira-kira 91 peratus, 4.0 peratus dan 3.0 peratus daripada jumlah hasil.

Segmen tempat duduk kereta kulit Pengilang Peralatan Asal (OEM) menyumbang kira-kira 86 peratys daripada jumlah hasil untuk penutup tempat duduk kereta manakala segmen Pengilang Peralatan Gantian (REM) dan Pemeriksaan Pra-penghantaran (PDI) menyumbang kira-kira 3.0 peratus dan 11 peratus masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee, berkata pihaknya berbesar hati untuk mendedahkan satu lagi set keputusan kewangan yang luar biasa, menunjukkan kejayaan dan pertumbuhan berterusannya.

"Ini menandakan suku ketiga berturut-turut pada TK2023 di mana Pecca telah mencatatkan rekod keuntungan bersih baharu.

"Permintaan untuk perkhidmatan servis dan penyelenggaraan upholsteri semakin meningkat, kerana beberapa pelanggan utama kami termasuk Perodua, Toyota dan Proton telah memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran atau memperkenalkan model baharu tahun ini.

"Sambil kami terus meletakkan diri kami sebagai pembekal pilihan untuk syarikat automotif global dan tempatan, kami melihat lebih banyak ruang untuk mengembangkan perniagaan ini - di Malaysia dan di seluruh rantau," katanya.

Katanya, Pecca juga sangat teruja dengan apa yang akan berlaku untuk perniagaan penerbangan, yang pada masa ini hanya memberi sumbangan kecil kepada pendapatan kami.

"Pensijilan EASA baru-baru ini yang diperoleh akan membantu mengembangkan perniagaan ini sebagai salah satu penyumbang utama strategik kami, memandangkan upholsteri pesawat memberikan harga dan margin yang lebih baik, berbanding dengan penutup tempat duduk kereta untuk industri automotif," katanya.

Pada Q3FY23 Pecca Aviation menjadi syarikat Malaysia pertama yang menerima pensijilan Kelulusan Organisasi Pengeluaran (POA) C2 daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Sebelum pensijilan EASA, pasaran untuk produk dan perkhidmatan penerbangan Peca terhad kepada pesawat berdaftar Malaysia.

Dengan Pecca Aviation kini layak untuk berkhidmat kepada pesawat berdaftar EASA, kami boleh memanfaatkan pangkalan pelanggan domestik dan global yang lebih luas dengan ketara.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PECCA 1.310

Comments

Login to comment.