Bursa Malaysia diasak tekanan jualan, KLCI tutup rendah

BeritaHarian Wed, Jun 07, 2023 07:30pm - 10 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Rabu dengan lebih rendah, diheret turun oleh tekanan jualan berterusan daripada aliran keluar dana asing, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.52 mata atau 0.32 peratus kepada 1,378.65 daripada 1,383.17, semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 1.17 mata kepada 1,382.00 pagi ini dan bergerak dalam jajaran paras terendah harian iaitu 1,371.74 hingga 1,383.55 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 495 berbanding 378 manakala 401 kaunter lain tidak berubah, 970 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.12 bilion unit bernilai RM1.73 bilion berbanding 3.55 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Selasa.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata prestasi hari ini turut didorong oleh perkembangan data kurang memberangsangkan dari China.

Menurutnya, eksport China pada Mei 2023 susut 7.5 peratus tahun ke tahun kepada paras terendah dalam tempoh tiga bulan.

"Berikutan itu, kami menjangkakan momentum negatif ini akan berterusan susulan tiada sebarang petunjuk baharu.

"Malah, sebarang pemulihan yang berlaku dalam tempoh terdekat pula akan hanya mencetuskan aktiviti pengambilan untung," katanya.

Beliau berkata, kalangan pelabur juga lebih memantau data berkaitan kadar pengangguran Malaysia serta pengeluaran perindustrian yang akan diumumkan Jumaat ini selain keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat atau Fed mengenai kadar faedah seterusnya pada minggu hadapan.

Selain itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penurunan FBM KLCI itu didorong terutamanya oleh kekurangan minat belian menjelang pilihan raya negeri ketika pelabur memilih untuk mengambil sebarang keputusan.

"Berikutan itu, kami mengunjurkan hala tuju masa terdekat FBM KLCI ini akan bergantung kebanyakannya pada kestabilan landskap politik semasa serta faktor luaran lain," katanya.

Thong juga menjangkakan pergerakan indeks utama lebih mendatar dalam jajaran 1,375-1,385 bagi tempoh berbaki minggu ini manakala sokongan segera pada 1,373 dan rintangan pada 1,390.

Saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB meraih dua sen kepada RM4.90; Tenaga Nasional turun tiga sen kepada RM9.27; Petronas Chemicals rugi 11 sen kepada RM6.41; Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.58 dan RM3.81.

Bagi saham aktif, Borneo Oil tidak berubah pada 1.5 sen; Bumi Armada dan Tanco naik tiga sen kepada 45.5 sen dan 49 sen; Edelteq yang melakar kemunculan pertama di Pasaran ACE meraih 49 sen kepada 73 sen dan Sarawak Consolidated naik satu sen kepada 27.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 34.82 mata kepada 10,161.97; Indeks FBMT 100 berkurangan 33.09 mata kepada 9,862.23; Indeks FBM Emas Shariah menambah 51.50 mata kepada 10,529.73; Indeks FBM 70 sebaliknya turun 48.25 mata kepada 13,427.77 dan Indeks FBM ACE turun 13.71 mata kepada 5,025.70.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga susut 7.21 mata kepada 783.22; Indeks Perladangan turun 49.39 mata kepada 6,662.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.89 mata kepada 158.89.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 1.03 mata kepada 15,092.82.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.00 bilion unit bernilai RM1.43 bilion daripada 2.39 bilion unit bernilai RM1.66 bilion pada Selasa.

Waran pula susut kepada 372.23 juta unit bernilai RM49.66 juta berbanding 423.12 juta unit bernilai RM59.84 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 744.47 juta saham bernilai RM248.68 juta daripada 734.62 juta saham bernilai RM203.45 juta, semalam.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 357.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (597.16 juta); pembinaan (144.41 juta); teknologi (179.66 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (58.58 juta); hartanah (204.57 juta); perladangan (23.19 juta); REIT (6.34 juta), dana tertutup (50,000); tenaga (224.10 juta); penjagaan kesihatan (50.32 juta); telekomunikasi dan media (76.62 juta); pengangkutan dan logistik (27.17 juta) serta utiliti (54.35 juta). – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ARMADA 0.585
BORNOIL 0.005
BURSA 7.410
FBMKLCI 1544.760
PBBANK 4.150
TENAGA 11.660

Comments

Login to comment.