Sasar capai 3.5 juta pengguna

HarianMetro Thu, Jun 29, 2023 05:01am - 10 months View Original


Kuala Lumpur: XOX Com Sdn Bhd (XOX), anak syarikat XOX Berhad menjangkakan jumlah pengguna akan mencapai 3.5 juta selepas menjalin kerjasama dengan KKDI Malaysia Sdn Bhd (KDDI Malaysia) yang akan dilaksanakan Januari tahun hadapan.

Kerjasama ini membabitkan pembangunan produk dan perkhidmatan baharu untuk memanfaatkan pelanggan di Jepun dan Malaysia.

Pengarah Eksekutif XOX Mobile, Roy Ho Yew Kee berkata, kerjasama ini akan memudahkan pengguna XOX untuk kekal terhubung walaupun berada di luar negara.

"Ini adalah kerjasama antarabangsa pertama bagi XOX. Kami juga merancang untuk bekerjasama dengan negara lain seperti China, Thailand, Singapura dan Australia pada masa akan datang," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara XOX Com dan KDDI Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini, jumlah pengguna XOX mencapai 2.5 juta dan dengan kerjasama yang dijalin ini, ia dapat membantu pengguna XOX kekal terhubung tanpa perlu menukar ke telco lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDDI Malaysia, Masaki Matsuura berkata, dianggarkan terdapat 30,000 rakyat Jepun menetap di Malaysia dengan kira-kira 1,200 syarikat Jepun berpusat di Malaysia.

"Telekomunikasi adalah elemen penting dalam aspek kehidupan dan ia amat diperlukan untuk memastikan kelancaran operasi harian kita semua," katanya.

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua syarikat menyediakan perkhidmatan telekomunikasi e-SIM kepada pelanggan menggunakan mesin layan diri XOX's Space serta aplikasi mudah alih Nimbus XOX sebagai perkhidmatan nilai tambah untuk pengguna di seluruh rantau Jepun dan Malaysia.

Kerjasama itu juga merangkumi penggunaan teknologi terkini kedua-dua syarikat untuk memudahkan pembangunan dan peningkatan nilai projek pelaburan yang dijalankan oleh XOX.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

XOX 0.010

Comments

Login to comment.