Wellspire dilantik jadi pengedar Fruit Plus, Kiss Me di Thailand

BeritaHarian Wed, Aug 23, 2023 03:38pm - 9 months View Original


KUALA LUMPUR: Wellspire Holdings Bhd (Wellspire) melebarkan perniagaan di Thailand apabila dilantik sebagai pengedar, pengimport, pengeksport, penjual dan jualan semula produk jenama Fruit Plus dan Kiss Me.

Ia direalisasikan Wellspire yang juga pengedar makanan ringan di Thailand menerusi anak syarikat miliknya, Wellspire Global Trading hasil kerjasama strategik dengan Khee San Food Industries Sdn Bhd (Khee San), anak syarikat Khee San Bhd.

Di bawah perjanjian itu, Wellspire akan menjadi pengedar tunggal dan eksklusif Khee San di Thailand.

Kerjasama strategik bersama Khee San juga adalah sebahagian daripada rancangan Wellspire untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk menembusi pasaran Thailand melalui saluran pengedaran kumpulan Wellspire yang mantap di negara berkenaan.

Kerjasama itu akan menggabungkan infrastruktur, saluran pengedaran dan kepakaran pemasaran kumpulan Wellspire di Thailand dengan keupayaan pembuatan dan pembungkusan Khee San yang mantap dalam industri pembuatan makanan pengguna dan makanan ringan dalam pasaran utama.

Perjanjian itu sah dari 23 Ogos 2023 hingga 22 Ogos 2026 untuk tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Wellspire, Mo Guopiao, berkata kerjasama itu juga dijangka memanfaatkan kekuatan dan kedudukan pasaran kedua-dua entiti berkenaan untuk membuka aliran hasil baharu yang lumayan dalam pasaran yang belum diterokai, sambil melengkapkan rangkaian produk sedia ada milik Wellspire untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Thailand.

"Wellspire juga akan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk terus memanfaatkan pertumbuhan jual-beli dalam talian dan jualan e-dagang, sambil meningkatkan rangkaian produknya dan terbabit dalam lebih banyak segmen permintaan pasaran di Thailand.

"Bukan itu saja, kerjasama dengan Wellspire juga akan membolehkan Khee San mengembangkan akses dan rantaiannya dengan pantas dalam pasaran makanan ringan Thai, meletakkannya pada kedudukan yang kukuh untuk pertumbuhan hasil masa depan dan kepelbagaian pasaran," katanya kepada media selepas majlis pemeteraian perjanjian antara Wellspire dan Khee San di aini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Wellspire, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad; Pengerusi Eksekutif Khee San, Desmond Yong Loong Chen; dan Ketua Pegawai Eksekutif Khee San, Edward Tan Juan Peng.

Khee San ialah pengeluar manisan dan gula-gula tempatan yang terkemuka di Malaysia, dengan sejarah kecemerlangan lebih 50 tahun.

Syarikat itu pada masa ini mengeksport ke lebih 20 negara, dengan destinasi utama seperti Hong Kong, Vietnam, Jepun, Afrika Selatan dan negara Asia Pasifik yang lain.

Untuk pasaran domestik, Khee San menumpukan pada pelbagai pusat jualan runcit merentasi kedua-dua saluran pengedaran borong dan moden.

Lokasi jualan akan terdiri daripada cawangan mom-and-pop, kedai serbaneka 24 jam dan rangkaian pasar raya besar terkemuka.

Menurut Statista, nilai hasil pasaran makanan ringan Thailand telah meningkat melebihi AS$1 bilion (RM4.97 bilion) pada 2023, dan dijangka menyaksikan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 7.16 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2028.

Berdasarkan jumlah populasi, pasaran Thailand mampu menjana pendapatan sebanyak AS$15.31 (RM71.13) bagi setiap individu pada 2023.

Guopiao berkata, dengan aspek logistik, pemasaran dan pengedaran memainkan peranan yang semakin kritikal dalam setiap aspek perniagaan pengedaran makanan ringan, syarikat itu sedar terhadap penyelesaian pembangunan penembusan pasaran untuk memastikannya kekal berdaya saing sambil menggunakan peluang pasaran yang sedang berkembang pesat.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

KHEESAN 0.155
WELLS 0.665

Comments

Login to comment.