Mubadala Investment, Inpex bersaing beli SapuraOMV pada harga RM5.7 bilion

BeritaHarian Fri, Oct 20, 2023 04:41pm - 4 months View Original


LONDON/SINGAPURA: Dana kerajaan Abu Dhabi, Mubadala Investment dan syarikat penerokaan minyak dan gas Jepun, Inpex adalah antara firma yang bersaing untuk membeli SapuraOMV dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai kira-kira $1.2 bilion (RM5.7 bilion), menurut dua sumber yang mempunyai pengetahuan langsung.

Penjualan syarikat huluan minyak dan gas beribu pejabat di Malaysia itu boleh membantu meningkatkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) global yang lemah berpunca daripada kelembapan ekonomi dunia, kadar faedah yang lebih tinggi dan ketegangan geopolitik.

Syarikat tenaga Indonesia, Medco Energi juga bersaing untuk membeli SapuraOMV, usaha sama (JV) sama rata antara Sapura Energy dan OMV Austria, dengan bidaan akan tamat minggu ini, tambah sumber itu.

Mereka enggan dikenali kerana perkembangan itu adalah sulit

Sapura Energy enggan mengulas. OMV dan Inpex berkata, mereka tidak mempunyai kenyataan.

Mubadala dan Medco tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan kenyataan.

Aktiviti M&A di rantau Asia Pasifik dan Jepun turun 26 peratus kepada paras terendah 10 tahun sebanyak $624.4 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh tahun lalu, demikian menurut data LSEG.

Aktiviti urus niaga dalam sektor tenaga dan kuasa di rantau ini turun 44.9 peratus kepada hampir $53 bilion, menurut data LSEG.

SapuraOMV mengeluarkan kira-kira 30,000 tong bersamaan minyak sehari (kboepd) daripada dua aset di Malaysia, SK310-B15 dan SK408 – Gorek, Larak dan Bakong, kata Sapura Energy dalam laporan tahunan terbaharu bagi tahun fiskal 2023.

Rancangan penjualan kepentingan itu akan membantu membawa masuk modal baharu sambil mengurangkan hutang, kata Sapura Energy dalam laporan berkenaan.

Dengan kepentingan penerokaan di Australia, Mexico dan New Zealand, SapuraOMV menyasarkan pengeluaran 100 kboepd melalui pertumbuhan organik dan aktiviti M&A dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang, menurut laman web OMV.

Pada November 2018, OMV berkata ia melabur sehingga $975 juta untuk 50 peratus bahagian ekuitinya dalam SapuraOMV dalam perjanjian yang bertujuan untuk melonjakkan pengembangan Asia syarikat itu.

-Reuters

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SAPNRG 0.045

Comments

Login to comment.