Aktiviti ambil untung dorong Bursa Malaysia dibuka rendah

BeritaHarian Mon, Nov 27, 2023 10:12am - 4 months View Original


KUALA LUMPUR: Kegiatan pengambilan untung terutamanya membabitkan saham wajaran tinggi terpilih mendorong Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini selain mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur Wall Street minggu lalu.

Pada jam 9.06 pagi, FBM KLCI turun 1.73 mata kepada 1,452.19 daripada 1,453.92 penutup Jumaat.

Indeks utama dibuka 0.77 mata lebih rendah pada paras 1,453.15.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 151 berbalas 128, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,855 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 210.47 juta unit bernilai RM78.92 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup bercampur-campur dengan pelabur kebanyakan tidak memasuki pasaran kerana menantikan data ekonomi yang bakal dikeluarkan akhir minggu ini.

Justeru, meskipun Purata Indeks Dow Jones menokok 117 mata, Nasdaq susut 15 mata manakala hasil 10 tahun AS meningkat pada 4.472 peratus.

Sementara itu, beliau berkata pelabur domestik masih mengambil sikap berhati-hati dengan pasaran menuju ke peringkat akhir pelaporan pendapatan korporat yang setakat ini agak memberangsangkan.

"Berikutan sentimen semasa, kami mengunjurkan indeks penanda aras berlegar dalam julat 1,450 hingga 1,460 hari ini, dengan sedikit minat tertumpu pada saham perladangan," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.09, Public Bank susut satu sen kepada RM4.24, CIMB turun tiga sen menjadi RM5.72, Petronas Chemicals merosot dua sen pada RM7.28 dan Tenaga Nasional berkurangan lima sen kepada RM9.95.

Bagi saham aktif, Hong Seng menambah setengah sen kepada 3.0 sen, Panda Eco peroleh 13 sen kepada 29 sen manakala Top Glove turun satu sen kepada 89 sen.

EA Holdings dan Capital A pula masing-masing tidak berubah pada 1.0 sen dan 87 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 6.62 mata kepada 10,762.11, Indeks FBMT 100 susut 8.68 mata menjadi 10,422.20 dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 8.91 mata kepada 10,935.10.

Indeks FBM ACE kerugian 35.41 mata kepada 5,170.02 tetapi Indeks FBM 70 menambah 4.34 mata kepada 14,336.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 18.28 mata kepada 16,366.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.04 mata menjadi 174.07 manakala Indeks Tenaga menokok 0.74 mata kepada 835.59 dan Indeks Perladangan meningkat 10.99 mata kepada 6,942.34.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.410
CAPITALA 0.670
EAH 0.005
FBMACE 4925.370
FBMEMAS 11577.440
FBMKLCI 1540.420
PBBANK 4.150
TENAGA 11.520

Comments

Login to comment.