Sasar 150 cawangan baharu

HarianMetro Mon, Feb 12, 2024 07:00am - 2 weeks View Original


Kuala Lumpur: Seruni Global Sdn Bhd, pengeluar minuman di bawah jenama Kopi Saigon komited melahirkan lebih ramai usahawan muda tempatan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) melalui cawangan korporat dan program pelesenan yang ditawarkannya, bermula tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Asyraf Kamal berkata, sejak menubuhkan rangkaian Kopi Saigon pada 2021, pihaknya berjaya mencapai prestasi pertumbuhan yang memberangsangkan dengan kini mempunyai 82 cawangan di seluruh Malaysia.

Katanya, kira-kira 40 peratus daripada cawangan berkenaan kebanyakannya berada di Lembah Klang manakala dari segi jualan paling besar, ia disumbangkan oleh rangkaian di pantai timur.

"Kami menyasarkan membuka 150 cawangan baharu menjelang akhir tahun ini dan berada di landasan tepat untuk mencapainya terutama menerusi Program Pelesenan Kopi Saigon yang sudah dibuka kepada mereka yang berminat.

"Pasaran minuman kopi semakin berkembang besar dan berpotensi dikembangkan. Justeru itu, kami komited membantu usahawan muda yang minat menceburi bidang ini.

"Modal untuk pakej pelesenan Kopi Saigon serendah RM53,000 dan kami akan membimbing mereka sehingga mampu menjana jualan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sehingga kini, ada 68 usahawan Kopi Saigon dan lebih 180 barista yang kesemuanya adalah rakyat tempatan.

Asyraf berkata, Kopi Saigon juga sekarang sudah menjadi rangkaian jenama kopi Vietnam yang terbesar di Malaysia dan pihaknya merancang meluaskan pasaran di Sabah dan Sarawak termasuk luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei, menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, beliau berkata, dari segi jualan, syarikat sudah menjual lebih kurang empat juta cawan Kopi Saigon dan menyasarkan kira-kira enam juta cawan tahun ini (bagi pasaran Semenanjung Malaysia) serta peningkatan jualan 35 hingga 45 peratus setiap tahun.

"Setakat ini, Kopi Saigon mempunyai 27 jenis minuman membabitkan segmen kopi, teh, coklat, frappe dan terbaru teh tarik dan setiap tiga bulan kami akan mengeluarkan minuman unik (bermusim) yang memang dinantikan pelanggan setia.

"Dari segi kualiti rasa kami kekalkan walaupun harga dijual mampu milik iaitu bermula RM5 (kopi hitam) sehingga RM12," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.