Bursa Malaysia susut, pelabur ambil untung

BeritaHarian Wed, Feb 21, 2024 11:18am - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyusut pada Rabu berikutan pelabur memilih untuk mendapatkan keuntungan selepas peningkatan semalam, dan dalam keadaan prestasi lemah Wall Street dalam tempoh semalaman akibat kebimbangan mengenai penilaian yang tinggi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.79 mata kepada 1,550.80 berbanding 1,555.59 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 1.49 mata kepada 1,554.10.

Sentimen pasaran adalah negatif yang menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 201 berbanding 118, manakala 261 kaunter tidak berubah, 1,717 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 245.68 juta unit bernilai RM93.79 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata, selain penangguhan pengurangan kadar yang dijangka meluas, peniaga juga berwaspada dengan ekuiti AS yang berkecenderungan meningkat.

"Oleh itu, Purata Perindustrian Dow Jones turun 64 mata manakala Nasdaq merosot 145 mata apabila Hasil 10 tahun AS menyusut sedikit kepada 4.275 peratus," katanya.

Di dalam negara, beliau berkata aktiviti pengambilan untung adalah dijangkakan selepas FBM KLCI mengekalkan prestasi memberangsangkan, ditutup melebihi paras 1,550 semalam.

"Ini menyerupai peningkatan kecil semasa Tahun Baharu Cina memandangkan indeks ini telah meningkat melebihi 40 mata dalam tempoh berkenaan. Lebih membangkitkan semangat apabila operasi runcit dilihat semakin baik walaupun penyertaan sebenar masih rendah," katanya.

Beliau berkata, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,550 hingga 1,560 hari ini dan mungkin menuju paras 1,600 tidak lama lagi.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd, yang menjangkakan prestasi lebih baik daripada korporat pada suku keempat 2023 berkata, peniaga akan memburu peluang dagangan terhadap syarikat yang pada asasnya teguh seperti sektor pengguna, terutamanya kaunter poultri, dan syarikat minyak dan gas.

Ia terus memilih sektor teknologi berikutan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional 2.0, serta sektor perladangan berikutan harga lebih kukuh.

Di pasaran komoditi, harga minyak Brent menyusut lebih 1.0 peratus berikutan kebimbangan mengenai permintaan global, mengimbangi sokongan harga daripada ketegangan di Asia Barat.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi berkaitan indeks CelcomDigi mendahului penyusutan, turun lima sen kepada RM4.32, diikuti oleh Petronas Chemicals yang berkurangan tujuh sen kepada RM7.02, manakala Maybank susut tiga sen kepada RM9.48.

Sebaliknya, Sime Darby Plantation menokok tiga sen kepada RM4.53 dan Public Bank naik satu sen kepada RM4.49.

Bagi saham aktif, Hong Seng dan MMAG masing-masing meningkat setengah sen kepada 2.5 sen dan 11.5 sen.

SC Estate Builder dan KNM pula masing-masing tidak berubah pada 1.0 sen dan 9.5 sen, manakala Lay Hong meningkat tiga sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 33.80 mata kepada 11,515.41, Indeks FBMT 100 berkurangan 34.52 mata kepada 11,164.10, Indeks FBM Emas Syariah turun 43.85 mata kepada 11,582.08, Indeks FBM 70 berkurangan 48.22 mata kepada 15,497.65, dan Indeks ACE FBM susut 33.05 mata kepada 4,847.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 19.30 mata kepada 17,334.91, Indeks Perladangan turun 1.34 mata kepada 7,342.02, Indeks Tenaga rendah 5.42 mata kepada 941.53, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.52 mata kepada 177.28.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
CDB 4.070
FBMEMAS 11715.040
FBMKLCI 1561.640
LAYHONG 0.390
PBBANK 4.210
SCBUILD 0.010
SIMEPLT 4.400

Comments

Login to comment.