Sapura Energy, syarikat Norway lancar Kitar Solutions

BeritaHarian Mon, Feb 26, 2024 04:37pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) melancarkan Kitar Solutions, perkongsian strategik bersama AF Offshore Decom, langkah strategik menangani keperluan pasaran yang semakin meningkat bagi perkhidmatan penyahtauliahan bersepadu di Asia Tenggara serta menangani agenda peralihan tenaga negara.

Digabungkan dengan aset strategik dan limbungan fabrikasi Sapura Energy di Lumut, Perak, Kitar Solutins menyasarkan untuk memudahkan proses penyahtauliahan melalui perkhidmatan Kejuruteraan, Penyediaan, Pembuangan dan Pelupusan bersepadu (EPRD).

Menurut Sapura Energy, pengenalan Kitar Solutions menandakan satu langkah penting dalam pengembangan portfolio penyahaktifan segmen perniagaan Kejuruteraan dan Pembinaan (E&C) kumpulan, mencerminkan matlamat syarikat untuk menyumbang ke arah ekonomi di rantau ini.

"Melalui Kitar Solutions, Sapura Energy dan AF Offshore Decom yang juga sebuah syarikat berpangkalan di Norway yang mengkhusus dalam penyelesaian penyahtauliahan tersuai di Laut Utara, kami memiliki rancangan untuk menambah baik kemudahan sedia ada di limbungan fabrikasi Sapura Energy di Lumut, sejajar dengan matlamatnya untuk memenuhi piawaian alam sekitar tertinggi dalam pengurusan sisa dan kitar semula," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, kumpulan itu komited untuk memenuhi masa depan tenaga rendah karbon melalui kerjasama dan berkongsi kepakaran teknikal dengan pemegang kepentingan utama.

"Kami akan memainkan peranan ke arah masa depan yang lebih mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

AF Offshore Decom membawakan pengalaman pelaksanaan penyahtauliahan selama 20 tahun kepada perkongsian, dengan pangkalan pelanggan, selain memiliki dan mengendalikan kemudahan penyahtauliahan Vats di Norway.

Sementara itu, Pengerusi AF Offshore Decom, Lars Myhre Hjelmeset berkata, menerusi Kitar Solutions, syarikat itu memiliki keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan penyahtauliahan di seluruh rantau Asia Pasifik, selain dapat memastikan pematuhan kepada piawaian tadbir urus alam sekitar dan sosial yang ketat Kesatuan Eropah (EU).

"Perkongsian kami boleh memberi sumbangan besar ke arah peralihan hijau yang mampan," katanya.

Menurut Sapura Energy, menjangkaui aspek pematuhan, Kitar Solutions bersedia untuk memacu pertumbuhan ekonomi serantau melalui pembangunan vendor tempatan dan penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Inisiatif ini juga direka bentuk untuk memupuk hubungan kukuh dengan ekosistem perniagaan tempatan, memindahkan kemahiran teknikal, keupayaan dan kepakaran, seperti mengitar semula dan menggunakan semula struktur luar pesisir serta akses rantaian.

Mohd Anuar berkata, Sapura Energy sedang membangunkan hab serantau untuk penyahtauliahan selain mengutamakan penjagaan alam sekitar dan tadbir urus sosial.

"Pendekatan proaktif Sapura Energy dalam mewujudkan Kitar Solutions mencerminkan komitmen berterusan kumpulan untuk menyampaikan manfaat alam sekitar dan ekonomi kepada wilayah di mana kami beroperasi.

"Memandangkan permintaan untuk perkhidmatan penyahtauliahan meningkat sejajar dengan aset luar pesisir yang mencapai penghujung hayatnya, Kitar Solutions bersedia bergerak ke arah penyelesaian yang lebih hijau," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SAPNRG 0.045

Comments

Login to comment.