Sumbang RM83,000 tingkat produktiviti

HarianMetro Thu, Mar 28, 2024 07:10am - 1 month View Original


BANK Rakyat, baru-baru ini, menyerahkan sumbangan berjumlah RM83,000 menerusi platform Jariah Al-Barakah bagi membantu meningkatkan produktiviti ekonomi penduduk dan memperkasa usahawan luar bandar di Pulau Ketam, Kuala Perlis.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu bertepatan dengan konsep Malaysia Madani bagi membantu membina masyarakat yang progresif dan inklusif.

Katanya, ia juga dapat memberi penekanan terhadap inisiatif pembangunan ekonomi dinamik yang mana setiap golongan masyarakat diberikan akses dan kemudahan yang setara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan secara keseluruhan.

"Menerusi inisiatif ini, Jariah Al-Barakah Bank Rakyat menyerahkan sumbangan sebanyak RM48,000 bagi pembelian teknologi Solar Dome Dryer atau Kubah Pengering Solar.

"Inisiatif ini adalah kerjasama strategik antara Bank Rakyat, ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB) bersama-sama dengan Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mendukung inisiatif myWakaf dalam memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan teknologi untuk memacu ekonomi masyarakat, khususnya dalam sektor perikanan.

"Kemudahan teknologi ini mempercepatkan proses pengeringan hasil laut dengan lebih bersih dan tidak terdedah kepada ketidaktentuan cuaca berbanding dengan cara pemprosesan tradisional yang memakan masa beberapa hari untuk menghasilkan makanan alternatif seperti ikan masin," katanya.

Selain itu, Bank Rakyat juga menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM35,000 untuk bantuan Asnafpreneur dalam mengurus dan menjayakan projek Wakaf Solar Dome Dryer.

Asnafpreneur, salah satu inisiatif Bank Rakyat dalam membantu usahawan asnaf yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Menerusi projek ini, lapan usahawan asnaf akan diberi latihan pengurusan dan pemprosesan ikan kering selama dua hari serta sesi pemantauan, bimbingan dan motivasi oleh pekerja am yang dilantik selama setahun.

Sementara itu, Bank Rakyat turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM10,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Seberang Ramai, Kuala Perlis, bagi tujuan mengimarahkan masjid dengan pelbagai program atau aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat.

Jariah Al-Barakah platform yang menggalakkan masyarakat untuk mengerjakan amalan bersedekah demi kesejahteraan bersama.

Hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan dan kemudiannya keuntungan pelaburan terbabit disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.

Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau Al-Barakah (Jariah Al-Barakah), 1101464122 (Bank Rakyat) atau Perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492).

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.