Tekun umum dana tambahan RM30 juta

HarianMetro Wed, Apr 03, 2024 05:19pm - 1 month View Original


Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional mengumumkan dana tambahan RM30 juta menerusi Skim Pembiayaan Pemerkasaan Spumi (Spumi Goes Big).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, dijangka lebih 2,000 orang usahawan India yang ingin mengembangkan perniagaan mereka bakal mendapat manfaat daripada peruntukan ini.

Menurutnya, Skim Pembiayaan Pemerkasaan Spumi Goes Big ini boleh mula dipohon mulai 15 April 2024 di semua cawangan Tekun.

"Ini adalah peluang terbaik untuk mereka memperkasakan diri dalam pelbagai sektor antaranya kontraktor kecil, pertanian dan perusahan asas tani, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan secara dalam talian.

"Ini juga harapan kerajaan Madani untuk membantu usahawan India memajukan dan menaiktaraf sosioekonomi perniagaan masing-masing," katanya pada majlis pelancaran skim berkenaan hari ini.

Ramanan berkata, usahawan yang pernah menerima pembiayaan dari skim ini akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih besar dan kemudahan lain yang disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui program "Groom Big".

"Program Spumi Goes Big membolehkan usahawan yang berdaftar dapat memperluaskan perniagaan ke tahap global.

"Usahawan Spumi sedia ada yang sudah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh memohon Spumi Goes Big yang menawarkan nilai pembiayaan dari RM50,000 sehingga RM100,000," katanya.

Sehingga Mac 2024, seramai 28,808 orang usahawan masyarakat India sudah mendapat pembiayaan di bawah Spumi sedia ada dengan nilai RM450.5 juta.

Sejak skim ini dilaksanakan pada tahun 2008, Tekun menerima peruntukan sebanyak RM421.5 juta bagi melaksanakan program Spumi.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.