Bank Rakyat umum dividen 15 peratus untuk 802,823 anggota

BeritaHarian Fri, Apr 05, 2024 10:39am - 1 month View Original


KOTA KINABALU: Kumpulan Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus dengan jumlah anggaran RM424.62 juta kepada 802,823 anggotanya yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata bersempena dengan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, kumpulan perbankan itu juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak 2.0 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta, yang akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak.

"Pembayaran dividen 15 peratus ini akan dilakukan mulai hari ini, manakala bagi dividen istimewa pula pada September 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70.

"Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota, di samping membantu anggota dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya mengumumkan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat di sini, hari ini.

Ewon berkata, Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen sebanyak dua angka untuk tempoh melebihi 20 tahun.

"Saya percaya pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan mandat yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya, sekali gus memberikan kesaksamaan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

"Selain itu, Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2.0 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35.47 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1.0 peratus bersamaan RM17.74 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi," katanya.

Sementara itu, Bank Rakyat sekali lagi mengumumkan prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 2023, selepas merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.76 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut Bank Rakyat, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi itu dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar.

Katanya, walaupun menghadapi kemampatan margin bersih yang berterusan, komitmen teguh kumpulan untuk kekal berdaya tahan telah membuahkan hasil yang positif dalam tahun kewangan 2023.

"Prestasi memberangsangkan ini dipacu aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan (CASAIA), serta peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa sejajar dengan aliran industri," katanya.

Pendapatan utama Bank Rakyat melonjak sebanyak 12.9 peratus kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.9 bilion sebelum ini, didorong pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun 3.82 peratus dalam semua segmen perniagaan.

Prestasi yang lebih baik itu turut disokong oleh peningkatan pendapatan berasaskan fi dan pendapatan lain sebanyak 31.58 peratus atau RM139.21 juta kepada RM580.00 juta berbanding RM440.79 juta pada tahun sebelumnya.

"Kumpulan mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang cekap, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 47.85 peratus, lebih rendah daripada purata industri.

"Bank Rakyat terus kompetitif dan menguntungkan bagi tahun semasa dan kekal sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya terbesar di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, jumlah aset Bank Rakyat meningkat sebanyak 1.16 peratus atau RM1.36 bilion kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan sederhana itu didorong oleh pertumbuhan kukuh baki kasar pembiayaan, diimbangi oleh aset perbendaharaan yang lebih rendah sebanyak 3.71 peratus, selari dengan strategi pengurusan portfolio aset perbendaharaan.

Baki kasar pembiayaan mengekalkan trajektori pertumbuhan positif, meningkat sebanyak 3.82 peratus kepada RM83.51 bilion daripada RM80.44 bilion pada tahun sebelumnya.

Menuju ke hadapan, Bank Rakyat sentiasa optimis dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan perniagaan dan pelan strategik jangka panjang.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.