Berjaya Air mahu perkenal laluan baharu domestik, serantau

BeritaHarian Sun, Apr 07, 2024 01:19pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Cabang penerbangan Berjaya Land Bhd, Berjaya Air Sdn Bhd, menyasarkan pertumbuhan pendapatan enam peratus tahun ke tahun dalam lima tahun akan datang disokong oleh dua pesawat turboprop baharu, pengembangan kapasiti dan kemungkinan laluan baharu di Malaysia dan rantau ini.

Pengurus Besar Berjaya Air, Mohd Amri Mohd Akib, berkata syarikat penerbangan itu sedang mempertimbangkan pengembangan kapasiti terutama ke destinasi Berjaya Air memiliki pusat peranginan seperti Langkawi dan Pulau Pinang.

"Peluasan ini adalah sebahagian daripada rancangan tiga tahun kami. Berjaya Air turut melihat Koh Samui di Thailand sebagai destinasi berpotensi untuk perkhidmatannya," katanya.

Mohd Amri berkata, beliau yakin dengan prospek kerana syarikat itu kekal sebagai syarikat penerbangan bukan berjadual, menjadikannya sebagai pilihan kepada pengembara dan tangkas sebagai pengendali.

Perkhidmatan terbaharu disediakan Berjaya Air adalah dari Lapangan Terbang Seletar di Singapura ke The Taaras Beach & Spa Resort, Redang.

Beliau berkata, Pulau Redang mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi percutian kerana tempat peranginan premiumnya dengan pantai yang bersih dan tarikan menarik antaranya aktiviti melihat penyu dan sukan air.

"Selain itu, ketersambungan yang dipertingkatkan termasuk penerbangan lancar ke dan dari Singapura, membuka kemungkinan untuk lebih banyak perkhidmatan transit antarabangsa yang berpotensi menarik pelawat dari pelbagai bahagian dunia," kata Mohd Amri.

Mengulas mengenai pesawat baharu, beliau berkata dua pesawat ATR 72-600 baharu direka khusus untuk orang kenamaan (VIP), masing-masing dijadualkan untuk penghantaran pada tahun 2025 dan 2026.

"Pesawat ini sangat sesuai untuk mengakses lapangan terbang yang terletak di pulau dan destinasi yang tidak mudah dicapai melalui penerbangan komersial biasa," kata Mohd Amri.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BJLAND 0.370

Comments

Login to comment.