Bursa Malaysia ditutup rendah susulan sentimen lemah pelabur

BeritaHarian Mon, Apr 15, 2024 08:52pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan ditutup pada paras terendah intra harinya berikutan sentimen lemah pelabur di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Asia Barat, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.51 mata atau 0.55 peratus kepada 1,542.53 daripada paras penutup 1,551.04 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 5.59 mata kepada 1,545.45 dan mencecah paras tertinggi intra hari pada 1,548.34 semasa dagangan selepas sesi pagi.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 993 berbanding 230, 374 kaunter tidak berubah, 755 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.28 bilion unit bernilai RM3.25 bilion daripada 3.88 bilion unit bernilai RM3 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau juga kebanyakannya ditutup rendah apabila kebimbangan berterusan terhadap kadar faedah AS yang kekal tinggi bagi tempoh yang lama telah menjejaskan sentimen pelabur.

Nikkei Jepun jatuh 0.74 peratus kepada 39,232.80, Indeks Straits Times Singapura susut 1.09 peratus kepada 3,183.61, Kospi Korea Selatan berkurangan 0.42 peratus kepada 2,670.43 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.72 peratus kepada 16,600.46.

"Di pasaran tempatan, kami menjangkakan sentimen pasaran jangka pendek kekal tidak menentu di tengah-tengah ketidakpastian terhadap prestasi ekonomi global.

"Begitu juga, para pelabur diminta peka terhadap sebarang peluang membeli saham berharga rendah sekiranya rundingan gencatan senjata di Asia Barat membuahkan hasil positif," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Pak Leng mengunjurkan FBM KLCI kekal stabil dan diniagakan dalam jajaran 1,538 hingga 1,570 bagi minggu ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Penasihat Harta dan Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata prestasi FBM KLCI hari ini mencerminkan tekanan jualan yang berterusan susulan konflik di Asia Barat pada hujung minggu.

Beliau berkata, trend itu dijangka berterusan sebaik pasaran Amerika Syarikat (AS) dibuka hari ini berikutan tekanan inflasi dan peningkatan ketegangan geopolitik.

"Aktiviti pengambilan untung dijangka berterusan sepanjang minggu.

"Walaupun krisis di Asia Barat tidak djangka memberi kesan ketara kepada ekuiti global, pelabur dijangka mengambil pendekatan defensif," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.65, Public Bank dan IHH Healthcare susut enam sen masing-masing kepada RM4.12 dan RM6.03, CIMB berkurangan tiga sen kepada RM6.58 manakala Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM11.60.

Dalam kalangan kaunter cergas, Velesto Energy dan Bina Puri Holdings tidak berubah masing-masing berada pada 27.5 sen dan lapan sen, kedua-dua Dagang NeXchange dan Harvest Miracle Capital turun setengah sen masing-masing kepada 41 sen dan 11.5 sen, manakala Eversendai Corp naik 4.5 sen kepada 37.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 97.62 mata kepada 11,600.20, Indeks FBMT 100 turun 87.86 mata kepada 11,239.06 dan Indeks FBM 70 jatuh 232.72 mata kepada 16,159.85.

Indeks FBM ACE berkurangan 103.65 mata kepada 4,996.47 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 106.41 mata kepada 11,756.58.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 38.07 mata kepada 7,432.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.84 mata kepada 183.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 102.65 mata kepada 17,169.15, dan Indeks Tenaga menyusut 2.60 mata kepada 966.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.42 bilion unit bernilai RM2.88 bilion daripada 2.16 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.12 bilion unit bernilai RM121.17 juta daripada 913.70 juta unit bernilai RM101.73 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 723.24 juta saham bernilai RM241.84 juta daripada 787.74 juta saham bernilai RM239.77 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 400.07 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (465.87 juta), pembinaan (333.55 juta), teknologi (238.23 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (104.39 juta), hartanah (388.51 juta), perladangan (70.33 juta), REITs (24.01 juta), dana tertutup (31,200), tenaga (203.48 juta), penjagaan kesihatan (58.92 juta), telekomunikasi dan media (40.68 juta), pengangkutan dan logistik (34.24 juta) dan utiliti (54.29 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BPURI 0.410
BPURI-WB 0.280
BURSA 8.500
DNEX 0.450
FBMACE 5423.370
FBMEMAS 12357.840
FBMKLCI 1622.090
FBMSHA 12590.210
HM 0.100
HM-PA 0.035
HM-WB 0.000
IHH 6.300
PBBANK 4.210
SENDAI 0.695
TENAGA 13.080
VELESTO 0.290

Comments

Ahmad Fauzan
Like · Reply

Login to comment.