Cuaca panas lonjak permintaan terhadap produk F&N

BeritaHarian Wed, Apr 17, 2024 12:27pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang dialami beberapa negara di ASEAN termasuk Malaysia memberi kelebihan kepada pengeluar minuman sedia di minum (RTD) dengan permintaan ke atas produk syarikat makanan dan minuman (F&B), Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) meningkat.

Penganalisis MIDF Research, Genevieve Ng Pei Fen, berkata F&N dijangka menjadi penerima manfaat utama gelombang haba yang berlaku ketika ini selepas menjadi peneraju pasaran kukuh.

"Melangkah ke hadapan, kami percaya bahawa hasil kumpulan dalam suku kedua dan ketiga tahun kewangan 2024 akan dirangsang oleh peningkatan permintaan untuk produknya bukan sahaja di negara operasi utama seperti Thailand dan Malaysia tetapi juga melalui eksport ke seluruh Asia Tenggara, susulan keadaan cuaca melampau.

"Ini berikutan peristiwa El Niño di seluruh rantau Asia Tenggara sekarang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei sebelum peralihan kepada La Niña pada Jun hingga September 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Berdasarkan Indeks Perkhidmatan Runcit, F&N berada pada kedudukan teratas dalam segmen teh sedia untuk diminum, minuman ringan berkarbonat, susu sejat dan susu pekat manis di Malaysia.

Kumpulan itu juga diiktiraf sebagai jenama nombor satu untuk susu pekat, susu sejat dan susu steril di Thailand.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), suhu di beberapa bahagian di Asia Tenggara meningkat melebihi purata bermusim pada Februari lalu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran suhu panas hingga sangat panas di seluruh Thailand pada awal April, dengan wilayah utara mencecah puncak 43 darjah Celcius.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) juga mengeluarkan amaran gelombang haba untuk 14 wilayah (terutamanya negeri yang terjejas seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Sarawak, dan Sabah) di seluruh negara, dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celcius, malah mencapai 40 darjah Celcius di sesetengah kawasan.

Selain itu, Vietnam mengisytiharkan darurat pada 6 April lalu, disebabkan suhu tinggi yang luar biasa mengeringkan seluruh sawah di selatan.

Begitu juga di Filipina, ratusan sekolah menggantung kelas kerana suhu harian melebihi 42 darjah Celcius.

Dalam pada itu, Pei Fen berkata, MIDF Research optimis berhubung rancangan F&N untuk melancarkan perniagaan susu segar huluan bersepadu, dengan menyasarkan untuk menghasilkan 100 juta liter susu segar untuk fasa pertama di Gemas Negeri Sembilan, dengan perahan susu pertama dijangka pada awal 2025.

"Inisiatif ini membolehkan kumpulan mendapat bekalan sendiri dan mengurangkan kos operasi. Ambil perhatian bahawa kumpulan itu pada masa ini memperoleh secara luaran dengan jenama susu cair isi rumah sedia ada seperti F&N Magnolia, Farmhouse dan Bear Brand.

"Namun begitu, sasaran untuk mencapai jumlah pengeluaran 200 juta liter susu segar berikutan penyiapan semua fasa juga akan membolehkan kumpulan memiliki lebih kapasiti untuk memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa, seterusnya mengembangkan hasil perniagaan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

F&N 33.220

Comments

Login to comment.