Sentimen bertambah baik, Bursa Malaysia naik dua hari berturut-turut

BeritaHarian Thu, Apr 18, 2024 07:09pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya untuk ditutup tinggi hari ini bagi hari kedua berturut-turut disokong oleh sentimen yang bertambah baik dan aktiviti membeli saham berharga rendah susulan penjualan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.34 mata atau 0.28 peratus kepada 1,544.76 daripada paras penutup 1,540.42 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka rendah turun 0.58 mata kepada 1,539.84, bergerak antara paras 1,538.68 dan 1,548.46 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 570 berbanding 469, manakala 493 kaunter tidak berubah, 832 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.84 bilion unit bernilai RM2.62 bilion daripada 3.45 bilion unit unit bernilai RM2.67 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidik dan Penasihat Harta dan Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata prestasi bursa tempatan itu mencerminkan pemulihan daripada aliran menurunnya baru-baru ini yang seterusnya menyemai keyakinan dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong, berkata prestasi meningkat di pasaran tempatan itu mencerminkan kelegaan pelabur dengan situasi geopolitik yang agak mengendur di Asia Barat.

Beliau juga berkata, perkembangan positif di pasaran tempatan itu juga mendapat rangsangan daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

"Kami menjangkakan pemulihan selanjutnya berikutan keadaan pasaran yang lebih tenang.

"Sementara itu, pelabur memantau rapat angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2024 yang akan diumumkan esok yang akan menyediakan hala tuju kepada pertumbuhan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM9.67, CIMB meningkat enam sen kepada RM6.59, Tenaga Nasional melonjak lapan sen kepada RM11.60, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.84 dan Public Bank menyusut satu sen kepada RM4.14.

Dalam kalangan kaunter cergas, Ingenieur Gudang, Borneo Oil, Fitters Diversified dan Velesto Energy turun setengah sen masing-masing kepada 14 sen, setengah sen, 4.5 sen dan 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.53 mata kepada 11,616.97, Indeks FBMT 100 naik 36.14 mata kepada 11,255.53 dan Indeks FBM ACE menokok 22.15 mata kepada 4,947.52.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 31.02 mata kepada 11,788.33 dan Indeks FBM 70 melonjak 70.54 mata kepada 16,184.66.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.14 mata kepada 184.45 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 25.15 mata kepada 17,132.64.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 7.17 mata kepada 952.00 dan Indeks Perladangan turun 3.43 mata kepada 7,354.45.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.23 bilion unit bernilai RM2.31 bilion daripada 2.05 bilion unit bernilai RM2.39 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.09 bilion unit bernilai RM152.72 juta daripada 808 juta unit bernilai RM95.66 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 507.34 juta saham bernilai RM162.95 juta daripada 588.20 juta saham bernilai RM184.38 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 267.92 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (731.25 juta), pembinaan (309.23 juta), teknologi (190.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (84.96 juta), hartanah (252.73 juta), perladangan (26.41 juta), REITs (20.47 juta), dana tertutup (23,500), tenaga (162.14 juta), penjagaan kesihatan (35.90 juta), telekomunikasi dan media (33.12 juta), pengangkutan dan logistik (30.49 juta) dan utiliti (83.36 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BORNOIL 0.005
BURSA 8.830
FBMACE 5902.480
FBMEMAS 12386.450
FBMKLCI 1607.320
FBMSHA 12727.480
FITTERS 0.050
FITTERS-WC 0.005
INGENIEU 0.065
PBBANK 4.080
TENAGA 14.080
VELESTO 0.265

Comments

Login to comment.