Agih RM20.4j kepada usahawan asnaf, B40

HarianMetro Thu, May 16, 2024 06:16am - 3 days View Original


BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melalui program iTekad, berjaya mengagihkan sejumlah RM20.4 juta kepada 2,274 usahawan asnaf dan B40 sehingga Mei 2024.

Bank Muamalat menerusi kenyataan berkata, pihaknya komited untuk membantu golongan yang kurang diberi perkhidmatan dalam mendapatkan pembiayaan melalui program iTekad yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, inisiatif itu membolehkan usahawan mikro asnaf dan B40 mendapat akses kepada pembiayaan dengan mudah.

"Usaha ini adalah penting bagi memastikan mereka dapat memulakan dan meneruskan kesinambungan perniagaan serta menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan golongan ini.

"Selain akses pembiayaan bagi meneruskan kesinambungan perniagaan, usahawan asnaf dan B40 ini juga diberi latihan yang berstruktur daripada pihak konsultan latihan bagi meningkatkan kemahiran serta bimbingan untuk meningkatkan kepintaran dalam perniagaan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi secara mampan.

"Program iTekad Bank Muamalat merangkumi tiga sektor utama iaitu sektor ekonomi gig, sektor makanan dan minuman serta sektor pertanian," katanya.

Peserta usahawan iTekad Bank Muamalat turut menerima nilai tambah melalui pembiayaan mikro, latihan kemahiran, modal permulaan bagi pembelian aset perniagaan serta dibantu untuk mendapatkan sijil halal bagi produk dan perniagaan mereka.

Selain itu, hampir keseluruhan peserta iTekad sudah berjaya mengekalkan perniagaan mereka disamping memanfaatkan latihan berstruktur yang diterima sepanjang program iTekad berlangsung.

Bank Muamalat berkata, usahawan berjaya menambahbaik pengurusan perniagaan mereka dari sudut perakaunan dan juga berjaya melebarkan pemasaran produk mereka melalui platform atas talian seperti Grab Food, Food Panda, Shopee Food, Facebook, Instagram dan Tik Tok.

Melalui program iTekad di Bank Muamalat juga mereka berpeluang untuk mendapatkan geran aset perniagaan yang diperuntukkan kerajaan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.