UDA ambil alih pengoperasian Terminal Bas Sungai Nibong

HarianMetro Thu, May 16, 2024 06:20am - 3 days View Original


UDA Holdings Berhad (UDA), memperluas cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan hartanya melalui pengoperasian Terminal Bas Sungai Nibong di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, melalui kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan terminal bas, UDA optimis meneroka peluang mengendalikan Terminal Bas Sungai Nibong bersama-sama dengan Easybook dalam usaha mengembangkan salah satu cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta.

"Usaha ini satu strategi UDA dalam membangunkan semula serta memodenkan infrastruktur di kawasan bandar seterusnya mewujudkan kehidupan harmoni dan menyumbang ke arah kesejahteraan komuniti setempat.

"Ia juga seiring dengan konsep penjenamaan UDA, LIFE iaitu Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa.

"Selain itu, inisiatif terbabit turut bertepatan dengan fokus UDA iaitu selaku agensi di bawah Kuskop dalam mempergiat aktiviti keusahawanan dengan menyediakan ruang niaga kondusif.

"Kini, terminal terbabit mempunyai sembilan ruang niaga dan satu medan selera.

"Semoga langkah proaktif UDA ini selari dengan hasrat meneruskan Legasi UDA dan bergerak ke arah kelestarian UDA seterusnya menyumbang kepada perpaduan serta pembangunan ekonomi di negeri Pulau Pinang dan memperkasa Ekonomi Madani," katanya dalam kenyataan.

Projek menaik taraf dan pengurusan operasi Terminal Bas Sungai Nibong yang berkeluasan 42,112 kaki persegi itu meliputi kerja membaik pulih dan mengubah suai bangunan terminal, membina bangunan tambahan, membaik pulih kawasan tempat letak kereta serta menambaik baik sistem tempat letak kereta, sistem pengurusan terminal dan sistem jualan tiket merangkumi pelaksanaan sistem tiket berpusat dan jualan tiket dalam talian.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.