Hab HSR di Forest City pacu ekonomi di selatan Malaysia

HarianMetro Fri, May 24, 2024 07:36am - 3 weeks View Original


Kuala Lumpur: Langkah mewujudkan hab atau stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura di Forest City, Iskandar Puteri, Johor menjadikan kawasan pembangunan itu sebagai hab ekonomi selatan Malaysia.

Syarikat perunding hartanah tempatan, Ho Chin Soon Research (HCS) yang turut memainkan peranan dalam perancangan bandar di Malaysia sejak 36 tahun lalu termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang berkata, impak kepada pembinaan HSR itu perlu dilihat dalam jangka masa panjang kepada negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ishmael Ho berkata, perkhidmatan itu pilihan terbaik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Johor, khususnya inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).

"Ia juga selari hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjadikan negeri selatan tanah air ini negeri maju menjelang 2030.

"Sehubungan itu, kami berharap kerajaan dapat merealisasikan hasrat menjadikan negara ini sebagai kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara dengan kemudahan pengangkutan awam seumpama itu," katanya.

Dalam masa sama, kajian dibuat HCS turut meletakkan Hab HSR Forest City sebagai kawasan penting bagi menjayakan laluan Rel Kereta Api Pan Asia yang menghubungkan kawasan utara Kunming, China dan selatan Jakarta, Indonesia.

Forest City mempunyai potensi menjadi hab HSR selain turut membuka pasaran baharu di sepanjang laluan rel berkenaan termasuk pasaran Indonesia yang berpotensi tinggi dengan jutaan penduduk dan kuasa beli.

Katanya, HCS berharap pihak berkuasa mempertimbangkan perancangan itu secara serius sejajar usaha meningkatkan ekonomi Malaysia dengan mengukuhkan kerjasama bersama Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Pengerusi HCS, Ho Chin Soon berkata, pemilihan Forest City sebagai lokasi stesen menjadi pemangkin bukan sahaja dalam aspek ekonomi, tetapi juga pembinaan infrastruktur serba lengkap dan pelbagai subsektor ekonomi hiliran yang memberi manfaat positif kepada penduduk.

"Dengan mengambil kira pengumuman kerajaan negeri berhubung cadangan pembinaan sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) atau sistem Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di Johor Bahru dan kemudahan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Forest City mampu menjadi hab pengangkutan utama di rantau ini.

"Sistem pengangkutan rel membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Johor dan Malaysia kerana ia bentuk pengangkutan terbaik dibandingkan dengan pengangkutan lain seperti kereta atau bas.

"Ini kerana pembangunan ekonomi di Singapura hampir mencapai tahap matang dan mereka memerlukan lokasi baharu untuk melebarkan lagi ekonominya.

"Iskandar Malaysia termasuk Forest City yang terletak bersebelahan republik itu berkongsi ekosistem ekonomi sama sekali gus membolehkan perkembangan lebih seiring antara kedua-duanya," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Alias Hassan
Like · Reply
ekovest

Login to comment.