KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek Group Bhd mempunyai kontrak dalam tangan yang belum dibayar dianggarkan mencecah RM4.1 bilion, dengan kerja baharu bernilai kira-kira RM980 juta diraih setakat tahun ini.
Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata nilai kerja baharu yang diraih syarikat pembinaan itu setakat tahun ini adalah 65 peratus daripada sasaran yang dibuat oleh bank pelaburan itu iaitu sebanyak RM1.5 bilion.
"Mengikut anggaran kami, sekurang-kurangnya 30 peratus daripada buku pesanan Kerjaya Prospek diterima daripada projek Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2).
"Kami berpendapat bahawa masih banyak peluang akan muncul apabila hartanah di STP2 bakal dilancarkan, seperti pangsapuri perkhidmatan bernama The Lume dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM689 juta.
"Prospek syarikat ini disokong lagi oleh permintaan kukuh untuk projek-projek sedia ada di bawah STP2, misalnya Senna dah Fera. Kadar ambilan bagi projek-projek ini mencecah lebih 90 peratus sejak pelancarannya pada Januari lalu," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.
Adam berkata, Kerjaya Prospek meraih kerja bernilai kira-kira RM1.3 bilion di kawasan Batu Kawan yang ditawarkan oleh Aspen (Group) Holdings Bhd.
Menurut berita terkini, katanya Kerjaya Prospek Property sedang memajukan tanah seluas 222,000 kaki persegi di Batu Kawan menjadi sebuah pembangunan bercampur menerusi usaha sama (JV) dengan Aspen.
"Hal ini menunjukkan kawasan Batu Kawan menawarkan banyak lagi potensi pembangunan untuk masa hadapan," katanya.
Selain itu, beliau berkata peluang lain mungkin timbul daripada pembangunan Elmina West yang mempunyai anggaran GDV sebanyak RM1.5 bilion untuk tanah pegangan kekal seluas 135 ekar milik Eastern & Oriental Bhd (E&O).
Sebagai imbasan, katanya Kerjaya Prospek meraih kerja bernilai RM25 juta pada suku ketiga 2023 untuk menjalankan kerja-kerja tanah di Elmina West.
"Pembangunan ini dilihat sebagai projek penting buat E&O supaya ia dapat menghindari risiko yang timbul daripada menumpu pada satu lokasi sahaja dan kami dapati daripada pihak pengurusan bahawa E&O ingin mencepatkan projek ini pada separuh kedua 2024, kerana pengambilalihan tanah di Elmina West telah selesai pada 2015," katanya.
Adam berkata, secara keseluruhan Kerjaya Prospek berjaya meraih kerja-kerja baharu secara berterusan setakat tahun kewangan 2024, meskipun tiada kontrak baharu ditawarkan daripada segmen perindustrian.
"Oleh itu, sebarang kerja yang diterima daripada segmen perindustrian pada masa hadapan akan menjadi faktor pemangkin untuk saham Kerjaya Prospek dinilai semula.
"Kerja perindustrian terakhir yang diterima Kerjaya Prospek (bersama Samsung C&T) adalah untuk Texas Instruments Electronics Malaysia pada Oktober 2022.
"Selain margin untung selepas cukai syarikat yang stabil iaitu kira-kira 10 peratus, kami terus menggemari saham ini disebabkan oleh unjura kadar dividen tahun kewangan 2025 yang menarik sebanyak sekitar lima peratus, kadar lebih tinggi berbanding kebanyakan syarikat pesaingnya," katanya.