99 Speed Mart intai peluang kembang perniagaan ke Asia Tenggara

BeritaHarian Mon, Sep 09, 2024 11:25am - 3 weeks View Original


KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd yang membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini tidak menolak kemungkinan mengembangkan perniagaannya ke pasaran Asia Tenggara jika terdapat peluang berbuat demikian.

Pengarah Ganti 99 Speed Mart, Albert Lee, berkata ketika ini masih tiada rancangan yang konkrit, namun jika terdapat peluang, maka pihaknya akan meninjau peluang berkenaan.

"Jika terdapat peluang baik untuk bekerjasama, kami mungkin akan menimbangkannya," katanya kepada pemberita selepas penyenaraian 99 Speed Mart di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah.

99 Speedmart membuat penampilan memberangsangkan apabila didagangkan pada RM1.85 sesaham pada waktu pembukaan, mewakili premium sebanyak 12 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.65.

Sebanyak 53.8 juta saham bertukar tangan dalam dagangan berkenaan.

IPO pengendali rangkaian pasar mini 99 Speedmart itu merangkumi penjualan sebanyak 1.028 bilion saham biasa sedia ada dan terbitan awam 400 juta saham baharu untuk memperoleh dana sebanyak RM660 juta.

IPO Speed Mart disokong oleh 14 pelabur utama termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan pengurus aset, yang meliputi 55 peratus daripada saiz urus niaga.

Ia menjana dana terbesar di Bursa Malaysia sejak Julai 2017, apabila Lotte Chemical Titan Holding Bhd meraih RM3.77 bilion menerusi penyenaraiannya di pasaran saham tempatan.

Dalam pada itu, Lee berkata, pihaknya mahu mengukuhkan platform jualan pukal dalam taliannya, 99BulkSales yang dilancarkan pada September tahun lalu.

Beliau berkata, Speed Mart melihat perkembangan yang baik dalam segmen itu sejak dilancarkan dan disebabkan itu syarikat turut melancarkannya di wilayah tengah dan kemudian ke selatan.

"Kami mempercepatkan sedikit pengembangan ke wilayah selatan, maka dengan sebab itu kami melakukannya sebaik sahaja memasuki suku ketiga ini.

"Keutamaan kami sekarang adalah memastikan infrastruktur yang ada kukuh kerana ia berkongsi tulang belakang logistik yang serupa dengan kedai kami.

"Jadi, sebelum membuat keputusan mengenai pengembangan selanjutnya, kami perlu memastikan bahawa tulang belakang ini adalah kukuh terlebih dahulu," katanya.

99BulkSales merekodkan 6,400 transaksi membabitkan jualan sebanyak RM7.5 juta dari September 2023 hingga 15 Julai lalu.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

99SMART 2.290
BURSA 9.550
LCTITAN 1.010

Comments

Login to comment.