KUALA LUMPUR: Topvision Eye Specialist Bhd (Topvision), penyedia perkhidmatan perubatan penjagaan mata terkemuka di Malaysia, mencatatkan pertumbuhan hasil stabil sebanyak RM11.54 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2024 (S4 TK2024), meningkat 1.85 peratus daripada RM11.33 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh pengembangan rangkaian pusat jagaan ambulatori (ACC) dan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan oftalmologi komprehensif yang ditawarkannya. Secara keseluruhan, hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FYE2024) meningkat 2.86 peratus kepada RM44.19 juta berbanding RM42.96 juta pada FYE2023, didorong oleh pembukaan pusat baharu di Mentakab pada Ogos 2024.
Bagaimanapun, syarikat mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.81 juta bagi S4 TK2024, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.39 juta pada suku sebelumnya. Penurunan ini disebabkan oleh perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM3.01 juta.
Bagi keseluruhan TK2024, PBT merosot kepada RM3.74 juta daripada RM7.51 juta pada TK2023, dipengaruhi oleh kos operasi lebih tinggi berikutan pengembangan perniagaan, termasuk peningkatan perbelanjaan kakitangan, susut nilai aset baharu, serta kos pra-operasi berkaitan pembukaan pusat di Kuala Terengganu dan Tawau.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Topvision, Dr Peter Chong Kuok Siong, berkata meskipun keuntungan syarikat terkesan oleh perbelanjaan penyenaraian, asas perniagaan kekal kukuh dan pihaknya yakin dengan strategi pertumbuhan yang dirancang.
"Pengembangan rangkaian penjagaan ambulatori kami serta pelancaran Topvision Integrated Eye Specialist Centre (TIESC) yang akan datang bakal mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami dan memberikan nilai lebih tinggi kepada pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan.
Memasuki tahun kewangan 2025, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, memperluaskan akses perkhidmatan, dan mengekalkan pertumbuhan jangka panjang. Dengan siapnya projek pengembangan dan permintaan pasaran yang kukuh, Topvision berada dalam kedudukan strategik untuk mengukuhkan kepimpinannya dalam industri penjagaan mata negara serta memacu penciptaan nilai mampan bagi semua pihak berkepentingan.
