Kuala Lumpur: MCE Holdings Bhd memeterai usaha sama (JV) dengan Nanjing Chuhang Technology Co Ltd (NCT) bagi menghasilkan radar bantuan pemandu.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCE berkata, usaha sama itu susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada November 2024 antara anak syarikat milik penuhnya MCE Ventures Sdn Bhd dan NCT.
Susulan daripada itu, sebuah syarikat JV akan dibentuk dengan MCE memiliki pegangan 51 peratus manakala NCT memegang baki 49 peratus.
MCE berkata, syarikat JV yang baharu itu akan membangunkan, menghasilkan dan memasarkan radar gelombang milimeter automotif, komponen utama bagi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dan aplikasi pemanduan automasi untuk pasaran domestik dan global, kecuali China.
"Sensor ini penting kepada keselamatan kenderaan dan berfungsi sebagai pemacu utama kenderaan generasi baharu yang dilengkapi dengan fungsi bantuan berautonomi atau separa autonomi, membolehkan kenderaan mengesan, mentafsir dan bertindak balas terhadap persekitaran mereka dengan ketepatan dan kebolehpercayaan.
"Usaha sama ini mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak dalam segmen yang berkembang pesat ini dan meningkatkan keupayaan mereka untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap penyelesaian mobiliti pintar," katanya.
Pengarah Urusan kumpulan MCE Dr Goh Kar Chun berkata, usaha sama dengan Nanjing Chuhang Technology satu lonjakan penting bagi syarikat itu ketika ia sedang meningkatkan kepakaran dan meluaskan penawaran dalam bidang elektronik automotif yang lebih canggih.
"Ia mempersiapkan kami untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap teknologi mobiliti pintar dan mengukuhkan aspirasi kami untuk menawarkan penyelesaian bernilai tinggi dan canggih dari Malaysia untuk pasaran tempatan serta antarabangsa," katanya.
Majlis menandatangani usaha sama itu berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia 2025 di Osaka, sebagai sebahagian daripada acara NxGv: Game Changer in Energy Transition and Mobility anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MCE memaklumkan bahawa usaha sama ini dijangka mula menyumbang kepada prestasi Kumpulan MCE mulai suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.