KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia mengumumkan sebanyak 41 sekuriti disenaraikan sebagai patuh syariah manakala sembilan lagi dikeluarkan daripada senarai itu, berkuat kuasa hari ini.
Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan sekuriti patuh syariah di Bursa Malaysia meningkat kepada 850, merangkumi 80 peratus daripada jumlah keseluruhan sekuriti tersenarai.
Senarai berkenaan diterbitkan melalui laman web SC dalam laporan bertajuk *Senarai Sekuriti Patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia*.
Antara 41 sekuriti baharu yang diklasifikasikan sebagai patuh syariah termasuk AIMFLEX Bhd, Apex Healthcare Bhd, CJ Century Logistics Bhd, IOI Properties Group Bhd dan WTEC Group Bhd.
Sementara itu, sembilan sekuriti yang digugurkan daripada senarai patuh syariah adalah Carzo Holdings Bhd, Guocoland (M) Bhd, MAG Holdings Bhd, Rhong Khen International Bhd, Saliran Group Bhd, Sarawak Cable Bhd, TP Tec Holding Bhd, VETECE Holding Bhd dan Vsolar Group Bhd.
Menurut SC, dalam mengklasifikasikan sekuriti, SAC menerima input serta sokongan daripada SC yang memperoleh maklumat melalui laporan tahunan, pertanyaan kepada syarikat berkaitan serta maklumat lain yang relevan.
Katanya, penilaian syariah terhadap sekuriti yang disenaraikan dilakukan secara tahunan berdasarkan audit penyata kewangan yang tersedia.
"Bagi senarai semasa, SAC menilai penyata kewangan teraudit yang diterbitkan antara 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac 2025 seperti yang tersedia di laman web Bursa Malaysia," kata kenyataan itu.
Penilaian dijalankan menggunakan pendekatan kuantitatif dua peringkat iaitu melalui penanda aras aktiviti perniagaan dan penanda aras nisbah kewangan.
"Sesuatu sekuriti akan diklasifikasikan sebagai patuh syariah sekiranya aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan syarikat berkenaan berada di bawah paras penanda aras yang ditetapkan," katanya.
Senarai patuh syariah ini menjadi rujukan penting bagi pelabur Islam dalam membuat keputusan pelaburan yang menepati prinsip syariah.
SAC turut memberi jaminan bahawa ia akan terus menyemak status syariah sekuriti yang tersenarai dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan berterusan dengan garis panduan yang ditetapkan.
- Bernama
